MENU

IPOH: Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man bersama-sama 150 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turun padang pada Selasa melakukan pemeriksaan mengejut tandas di sekitar Bandaraya Ipoh.

Turut sama, Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria di samping Ahli-Ahli Majlis MBI turun padang ke tandas di zon masing-masing.

Datuk Bandar memeriksa dua tandas iaitu di Taman DR Seenivagam yang mencapai taraf 5 bintang dan di Medan Selera Dato Sagor yang mencapai taraf 4 bintang.

Pemeriksaan tersebut bertujuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kualiti hidup yang terbaik melalui penyediaan kemudahan persekitaran yang bersih dan selamat.

Program bagi meningkatkan tahap kebersihan tandas itu telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Kebersihan Tandas Awam Peringkat MBI, sejajar dengan amanat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak untuk meningkatkan tahap kebersihan tandas awam di kawasan pentadbiran majlis.

Zamri dalam sidang medianya selepas itu berkata, tandas-tandas awam yang terdapat di kawasan MBI terbahagi kepada dua iaitu tandas awam milik majlis yang diuruskan oleh pihak Majlis dan tandas awam milik swasta yang dikendalikan oleh pemilik bangunan atau premis perniagaan tersebut.

Menurut beliau, aktiviti penilaian tahap kebersihan dan penarafan bintang yang dilaksanakan ini adalah mengikut kehendak Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil. 3 tahun 2012 untuk mengkelaskan tahap kebersihan tandas awam mengikut penarafan bintang dengan melekatkan pelekat penarafan bintang di setiap tandas awam di bawah pemantauan PBT adalah salah satu aktiviti dalam program kebersihan tandas awam oleh MBI.
Objektif penarafan bintang kebersihan tandas awam:

1. Mewujudkan persaingan sihat di kalangan pemilik/ pelesen/ pengusaha premis tandas awam meningkatkan tahap kebersihan premis makanan dan tandas awam di bawah penyelenggaraan dan jagaan pengusaha premis perniagaan;

2. Memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pemilik premis makanan, pemilik tandas awam yang berjaymengurus dengan cemerlang premis makanan dan premis tandas awam dari dari aspek kebersihan serta menjadi contoh yang terbaik (benchmark) kepada pemilik premis yang lain;

3. Memberi peluang untuk menetapkan sasaran kepada semua pengusaha tandas awam bagi mendapatkan penarafan bintang yang terbaik iaitu 5 bintang;

4. Membantu meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman di kalangan pemilik tandas awam untuk membudayakan amalan penjagaan kebersihan tandas awam;

5. Menyediakan perkhidmatan/ kemudahan tandas awam bersih kepada rakyat dan pelancong.

Di dalam usaha ke arah itu MBI telah melaksanakan beberapa aktiviti secara berterusan, antaranya:

1. Pembersihan tandas awam serta aktiviti bersama komuniti seperti kempen Perak Yang Bersih melibatkan Ahli Majlis dan pengurusan tertinggi MBI, contohnya pembersihan tandas awam di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz sempena Kempen Perak Yang Bersih pada 21 September 2017;

2. Penilaian tahap kebersihan dan penarafan tandas bintang kepada semua tandas awam di bawah pentadbiran MBI;

3. Penguatkuasaan ke atas kebersihan tandas awam secara rutin, berkala dan semasa operasi berjadual secara berkala;

4. Taklimat secara individu dan kumpulan kecil serta pengedaran risalah kepada pengusaha restoran dan pemilik premis / penjaga premis tandas awam tentang penilaian tahap kebersihan tandas awam dan penarafan bintang tandas awam diberikan supaya amalan / budaya penjagaan kebersihan tandas awam secara berterusan dikekalkan;

5. Operasi TAC (Tandas Apron dan Cap) dijalankan bagi memastikan kebersihan tandas di premis makanan ditingkatkan dari semasa ke semasa;

6. Pertandingan Anugerah Tandas Bersih 1 Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016 telah membawa kejayaan kepada tandas yang menjadi kebangaan warga MBI iaitu Tandas Bahagian Perkhidmatan Bandar dengan Anugerah Emas. Selain itu, MBI juga telah memperolehi Anugerah Emas bagi tandas awam Restoran JMJ Food & Beverage Sdn Bhd. serta Anugerah Perak bagi tandas Masjid Muhammadiah, Kompleks Aeon Klebang dan Stesyen Minyak Shell Syalia Enterprise, Jalan Kuala Kangsar.

7. Pertandingan Anugerah Tandas Bersih 1 Malaysia Peringkat Kebangsaan 2017 juga menyenarai senarai pendek Tandas Awam Pusat Transformasi Bandar (UTC) Negeri Perak, Aeon Mall Ipoh Klebang, Masjid Muhammadiah, Restoran Foh San Sdn. Bhd., Restoran Classic Dining Sdn. Bhd. dan juga SK Tanah Hitam, Chemor.

MBI meletakkan sasaran 50% daripada keseluruhan tandas di Bandaraya Ipoh mencapai taraf 4-5 bintang selewat-lewatnya hujung tahun ini.

kredit : http://suaraperak.com/datuk-bandar-ipoh-periksa-tandas-di-sekitar-bandaraya/