MENU

IPOH: Masyarakat digesa membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani sebarang aktiviti longgokan dan pembuangan sampah haram demi menjamin kebersihan bandaraya serta keselesaan penduduk setempat.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata di peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), isu ini dipandang serius selain beberapa usaha penambahbaikkan dari segi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan.

Katanya, MBI sedang dalam perbincangan untuk menguatkuasakan undang-undang bagi membendung masalah yang tiada titik noktahnya itu.

“Sesiapa yang diapati bersalah, kita akan terus kenakan kompaun kepadanya sebanyak RM250 dan RM500, bagi kawasan yang sudah diletakkan papan tanda amaran.

“Sekarang ini kita tidak mempedulikan sebarang rayuan terhadap kes ini dan jika ada yang gagal membayarnya, kita akan failkan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata,  masyarakat juga boleh menjadi mata dan telinga kepada MBI dengan melaporkan segala aktiviti kurang bermoral itu kepada mereka.

Mengambil contoh video salah laku pengguna jalan raya menggunakan lorong kecemasan yang pernah tular satu kekita dahulu, Zamri berkata MBI akan mengambil pendekatakan sedemikian.

“Selepas ia tular, pengguna jalan raya mula berasa takut untuk menyalahgunakan lorong kecemasan, dan kita mahu ia juga berlaku di sini.

“Orang ramai boleh menangkap gambar pelaku, dan menghantarkan kepada kami melalui aplikasi Whatsapp di nombor, 019-5503083.

“Selepas siasatan, kita akan pamerkan gambar tersebut melalui akhbar-akhbar tempatan yang mana kita juga pernah lakukan ini. Jangan risau, maklumat penghantar adalah rahsia.

“Kita tidak mampu membuat intipan 24 jam di semua kawasan, jadi kita harap masyarakat dapat membantu kita dalam hal ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Inovasi MBI di Dewan Bandaran, dekat sini, hari ini.

Untuk rekod, sehingga 25 November tahun ini, sebanyak 15,860 kali aktiviti pembersihan telah dijalankan terhadap 1,673 lokasi sampah haram yang mana ia melibatkan 6,288 tan sampah.

Selain itu, sebanyak 2,406 kompaun turut dikeluarkan yang melibatkan jumlah bernilai RM507,400.

Pada perkembangan sama, Zamri berkata, MBI akan berusaha mengekalkan segala pencapaian MBI pada 2017 untuk tahun hadapan.

Selain bandar terbersih, MBI juga pernah dinobatkan sebagai PBT terbaik 2017 dan merangkul anugerah lima bintang oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kredit : https://peraktoday.com.my/2017/12/hantar-gambar-pelaku-sampah-haram-melalui-whatsapp/