MENU

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dinobatkan sebagai pemenang perak dalam Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2017 bagi kategori Hak Cipta menerusi inovasi aplikasi yang dikenali sebagai eZe3@MBI, baru-baru ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bawa pulang wang berjumlah RM7,000, piala dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria, Pengarah Kanan Pentadbiran & Kewangan, Saidatul Akma Jamaluddin, Pengarah Lanskap Bandaraya, Meor Abdullah Zaidi Meor Razali, Pengurus Besar UTC, Romzi Zamri dan ketua jabatan MBI yang lain.

Pemenang emas kategori  sama dirangkul oleh  syarikat Digital Durian yang popular dengan siri animasi Didi and Friends.

Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, eZe3@MBI atau Easy Electronic Tree Data Collection merupakan peralatan pengurusan serta pengumpulan maklumat di tapak dalam talian yang menggunakan kaedah geolocation, geocoding dan geotagging.

Menurutnya, aplikasi berkenaan adalah satu modul di bawah Sistem Tanya Sama Pokok yang menggabungkan elemen pemantauan di tapak, pengurusan pangkalan data serta maklumat terkini penyelenggaraan pokok teduhan.

“Pengenalan pokok berdasarkan koordinat serta laporan terkini di tapak adalah melalui peranti pintar yang dihubungkan guna rangkaian telekomunikasi ke pelayar,”katanya

“Pengguna mampu mengemas kini maklumat serta status terbaharu selenggaraan pokok dengan lebih cepat dan tepat pada masa sama, maklumat inventori dapat digunakan untuk merancang program selenggaraan supaya pokok teduhan berada di dalam keadaan selamat dan berfungsi,"katanya.

Katanya, secara keseluruhan eZe3@MBI ini adalah alat yang komprehensif berlandaskan kemajuan ICT di dalam sektor awam.