MENU

Bandaraya Ipoh diumumkan sebagai Bandar Perniagaan Sosial (Social Bussiness City) kelima di dunia selepas Pistoia di Itali, Barcelona (Sepanyol); Wiesbarden (Jerman) dan Fukuoka (Jepun).

Pengumuman itu telah dibuat oleh Pemegang Anugerah Nobel yang juga pengasas Bandar Perniagaan Sosial, Prof Muhammad Yunus yang mana ia menjadikan Ipoh sebagai bandaraya yang pertama di ASEAN dan kedua di Asia selepas Bandaraya Fukuoka di Jepun.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, idea Bandar Perniagaan Sosial berkenaan adalah berkaitan dengan peranan yang akan dimainkan oleh semua pihak termasuk pihak swasta dan korporat untuk mengendalikan ataupun menyelesaikan sesuatu permasalahan yang berlaku di sesuatu kawasan.

“Idea ini dikemukakan bagi memastikan setiap daripada kita bertanggungjawab bersama-sama dalam memastikan keadaan keselamatan, keamanan ataupun dalam usaha untuk membasmi sebarang masalah yang berkaitan dengan kemiskinan dan sebagainya dalam sesebuah tempat itu.

“Antara isu atau permasalahan yang perlu diberi perhatian adalah kemiskinan bandar, isu dadah dan juga beberapa isu lain sebagai contoh yang berkaitan dengan isu keselamatan yang mana walaupun ia tidak begitu serius tetapi ia perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pangkor International Development Dialogue (Pangkor Dialogue) 2016, di sini, hari ini.

Selain itu, ujarnya lagi, ia secara tidak langsung turut membantu dari segi ekonomi negeri Perak.

Ini kerana kita kadang kala dikongkong oleh pemahaman ekonomi yang terlalu bersifat keuntungan sedangkan yang sebenarnya yang dibicarakan adalah bagaimana kita nak memastikan setiap daripada kita berkeupayaan untuk menceburkan diri dalam bidang yang berkaitan untuk mencari sumber-sumber pendapatan bukan semata-mata berdasarkan kepada keuntungan.

“Jadi perkara inilah (Bandar Perniagaan Sosial), suasana yang kita nak wujudkan dalam negeri Perak kita dan juga dalam Bandaraya Ipoh,” katanya lagi.

Kredit : http://peraktoday.com.my/…/ipoh-diiktiraf-bandar-perniagaa…/