MENU

Majlis Bandaraya Ipoh melalui Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Jabatan Kesihatan Awam Dan Perkhidmatan Perbandaran akan melaksanakan ‘Ops TAC’ (Operasi tandas, apron and penutup kepala) mulai bulan November 2016.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, sepanjang tahun 2016, sebanyak 649 buah premis makanan daripada 738 premis termasuk restoran dan kafe telah diberi penarafan Gred A dan B.

“Manakala, sebanyak 615 tandas daripada 695 tandas premis makananan yang diaudit telah memperolehi tiga bintang dan keatas,” katanya.

Walaubagaimanapun, jelasnya, masih ramai pengendali makanan gagal menjaga kebersihan diri seperti tidak memakai apron dan penutup kepala disamping tidak menjaga kebersihan tandas.

Justeru itu, beliau berkata Ops TAC tersebut dapat memastikan pengendali makanan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dengan pemakaian apron, penutup kepada serta menjaga kebersihan tandas di premis makanan mereka.

“Kita akan adakan pemeriksaan pemakaian apron, penutup kepala (cap) dan kebersihan tandas di premis makanan selain turut mengedarkan risalah berkaitan dengan kesihatan.

“Selain itu, kita turut akan menjalankan penguatkuasaan iaitu mengkompaun pelesen dan juga operator yang mengendalikan makanan mengikut Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MPI) 1981 dan Undang-Undang Kecil Pengawalan dan Pengawasan Tempat-Tempat Makan (MPI) 1981,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru agar wargakota Ipoh mengibarkan bendera negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang bakal disambut pada 4 November ini.