MENU

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan tindakan Tahanan Harta Alih terhadap pemilik pegangan yang gagal menjelaskan tunggakan cukai tafsiran mereka.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pihak pentadbiran MBI telah berulang kali memberi peringatan kepada pemilik pegangan supaya membayar tunggakan cukai tafsiran mereka.

Namun, beliau berkata, semakan yang dibuat mendapati masih terdapat ramai pemilik pegangan yang gagal bertindak terhadap notis yang dikeluarkan oleh MBI.

Justeru itu, Zamri berkata, MBI akan melaksanakan tindakan Tahanan Harta Alih berkenaan mulai November 2016.

“Selain daripada pegangan yang tertunggak, keutamaan tindakan juga akan diberikan kepada pemilik pegangan yang gagal mematuhi perjanjian ansuran yang telah dipersetujui,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Oktober 2016 di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, pihak MBI juga telah mengenalpasti kawasan yang mempunyai banyak pegangan tertunggak di seluruh kawasan pentadbirannya.

“Kita akan membuat hebahan drngan memasang banner bagi memaklumkan kepada penduduk setempat sebelum tindakan dilaksanakan.

“Pemilik pegangan di kawasan pentadbiran MBI yang masih mempunyai tunggakan cukai tafsiran adalah dinasihatkan supaya menjelaskan bayaran pada kadar segera bagi mengelakkan tindakan Majlis pada kali ini,” tambahnya.