MENU

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh telah menurunkan sejumlah 84,645 unit iklan haram di sekitar Bandaraya Ipoh dari Januari sehingga September tahun ini.

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, tindakan tegas akan diambil dibawah Undang-Undang Kecil Iklan MBI 2013 kepada mana-mana pihak atau individu yang menampal iklan haram serta didapati mengotorkan pemandangan Bandaraya Ipoh dengan kompaun maksimum RM250 untuk setiap kesalahan.

Terdahulu Datuk Bandar telah bertindak turun padang selama dua hari bermula pada 7 hingga 8 November 2017 untuk mengatasi isu berkaitan iklan haram di sekitar Bandaraya Ipoh.

“Sebahagian besar iklan haram tersebut adalah iklan peminjam wang haram (Ah Long) iaitu sebanyak 66,911 unit.

“Hasil pemerhatian selama dua hari di sekitar kawasan Kledang dan Bercham mendapati terdapat banyak iklan haram dipasang pada tiang-tiang lampu, pokok-pokok dan harta-harta awam milik MBI termasuklah iklan komersial, hartanah, jualan produk, iklan peminjam wang Ah Long dan lain-lain,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Malah jelasnya hasil pemantauan pada 7 dan 8 November lalu, sebanyak hampir 2,000 iklan Ah Long telah ditanggalkan pada kedua-dua hari tersebut oleh anggota penguatkuasa.

Pembersihan iklan haram berkenaan sentiasa dijalankan secara berkala oleh 15 anggota Penguatkuasa daripada Unit Iklan, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, MBI.

Setakat Januari sehingga September 2017, sejumlah 1,468 kompaun yang bernilai RM274,215.00 telah dikeluarkan kepada orang awam yang telah melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan tersebut.

“Kerjasama wargakota Ipoh adalah dipohon bersama-sama membantu MBI untuk mengekalkan status Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia dengan cara membantu menanggalkan iklan haram di hadapan kediaman masing-masing, menegah pemasang iklan haram serta amat mengalu-alukan maklumat berkaitan pemasang iklan haram serta butir-butir kenderaan yang digunakan supaya tindakan lanjut boleh diambil oleh pihak MBI.

“Tindakan kompaun adalah merupakan tindakan terakhir diambil oleh MBI setelah usaha-usaha menasihati gagal,” katanya.

Wargakota boleh menghubungi talian hotline MBI 05-2551515, whatapps MBI di talian 019-5503083 atau melalui email di alamat, aduan@mbi.gov.my sekiranya mendapati ada pihak atau individu yang masih menampal iklan haram disekitar kediaman masing-masing.

Kredit : https://peraktoday.com.my/2017/11/mbi-turunkan-lebih-80000-iklan-ah-long-seluruh-ipoh/