MENU

IPOH: Acara larian Ipoh International Run (IIR) 2017 kali ini memperlihatkan dikuasai oleh peserta Kenya bagi kategori 21 Kilometer (KM) bagi lelaki, wanita dan lelaki veteran.

John Muiruri Mburu berjaya menduduki tangga pertama dan memintas rakan senegaranya, Fredrick Sumbei dan James Munyi Maregu dengan catatan masa larian selama 1 jam 6 minit dan 4 saat.

Beliau turut berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta trofi, sijil penyertaan dan hadiah sumbangan 100 PLUS.

Bagi acara 21 KM, kategori wanita terbuka, Peninah Jepkoech hanya mampu selesa di kedudukan kedua apabila Rutto Beatrice Jepkorir, juga rakan senegaranya berjaya memintasnya  sembilan saat lebih awal digarisan penamat dengan catatan masa selama  1 jam 18 minit dan 41 saat.

Selain itu, bagi acara 21 KM kategori lelaki vateran, Joseph Mwangi Ngara muncul juara dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000.

Acara yang bermula sekitar jam 6.00 pagi di Dataran Bandaraya Ipoh ini turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman  Yahya dan juga Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kledang turut diberi pengiktiafan dan imbuhan sebanyak RM2,000 kerana berjaya menghantar penyertaan teramai  (588 pelajar) dari 12 buah wakil sekolah seluruh Perak yang hadir.

Penganjuran IIR edisi kali ke-22 yang mempertaruhkan 11 kategori acara ini, memperlihatkan penglibatan seramai 8,084 peserta tempatan dan dari 14 buah negara lain antaranya dari Thailand, Filipina, dan Kenya.