MENU

Tandas di Pejabat UTC Perak di bawah pengurusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah diumumkan pemenang pertama (Anugerah Emas) dalam Pertandingan Tandas Bersih 1 Malaysia Peringkat Kebangsaan 2017 Kategori Pejabat Kerajaan pagi tadi.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique, telah menyampaikan hadiah berupa sijil, plak dan cek bernilai RM3000 kepada Pengurus Besar UTC Perak, Romzi Zamri yang mewakili MBI.

Tandas lain di bawah pentadbiran MBI yang turut memenangi Anugerah Emas ialah tandas Masjid Muhammadiah, Taman Tasek Jaya y(kategori Rumah Ibadat) dan tandas Aeon Mall Klebang (kategori Pusat Membeli-Belah) manakala dan tandas Restoran Foh San merangkul tempat kedua (Anugerah Perak) kategori Restoran.

Program anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan itu mempertandingkan 12 kategori pada tahun ini yang bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti kebersihan tandas-tandas awam di Malaysia.

Ia juga bertujuan memberi pengiktirafan kepada pihak berkuasa tempatan dan pemilik-pemilik tandas awam di atas usaha dan inisiatif mereka dalam mewujudkan tandas-tandas yang bersih dan selesa untuk kegunaan awam.

Kriteria utama yang dinilai oleh panel pertandingan adalah daripada aspek kebersihan secara keseluruhan yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Star Rating Kebersihan Tandas awam di Pihak Berkuasa Tempatan.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, kemenangan itu diharap menjadi contoh dan model kepada PBT lain dan operator-operator tandas awam di seluruh Malaysia.

“Kita juga berharap agar ia menjadi pemangkin dalam mengekalkan status Ipoh sebagai bandar terbersih dan MBI PBT terbaik di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama berpasukan semua pihak, termasuk wargakota Ipoh.

kredit : http://suaraperak.com/tandas-utc-perak-juarai-tandas-bersih-kategori-pejabat-kerajaan-2017/