PROGRAM MESRA HARI BERTEMU PELANGGAN KERAJAAN NEGERI PERAK SIRI 4 DAN MAJLIS PEMBENTANGAN LAPORAN KEMAJUAN TAHUN KE-3 PERAK SEJAHTERA 2030 DI LENGGONG
Lenggong, 30 Jun 2025 – YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak telah menghadiri dua program penting di daerah Lenggong hari ini yang memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta menilai pencapaian dasar pembangunan negeri.
Program pertama, Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 4, berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat. Program ini memberi peluang secara langsung kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan, aduan dan cadangan kepada agensi-agensi kerajaan negeri, sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.
Acara kedua pula adalah Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Ke-3 Perak Sejahtera 2030 yang berlangsung di Dewan Besar Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Lenggong. Dalam majlis ini, YAB Menteri Besar telah membentangkan pencapaian terkini pelaksanaan inisiatif-inisiatif utama di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030, termasuk dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan, dan kelestarian alam sekitar.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, ketua-ketua jabatan serta Pihak Berkuasa Tempatan, termasuk Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh. Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Ipoh yang diketuai oleh Ketua Whip, Clr. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman dan Clr. Tuan Wong Kar Keat, bersama beberapa Ahli Majlis lain yang sentiasa memberikan komitmen penuh terhadap agenda pembangunan mampan dan kemakmuran negeri Perak.
Penekanan utama tahun ini adalah terhadap pembangunan ekonomi melalui pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta lima cabang ekonomi utama iaitu Ekonomi Digital, Ekonomi Ungu, Ekonomi Oren, Ekonomi Biru dan Ekonomi Hijau. Seiring dengan hal ini, Majlis Bandaraya Ipoh turut diberi peluang untuk membuka reruai pameran bagi memperkenalkan Flagship 15 Pelan Perak Sejahtera melalui inisiatif Ipoh Bandaraya Ekonomi Donat di bawah tema Ekonomi Hijau.
Ipoh merupakan bandar raya pertama di Asia yang melaksanakan Model Ekonomi Donat sebagai usaha peralihan daripada ekonomi berasaskan sumber alam kepada ekonomi regeneratif. Pada tahun 2024, inisiatif Ipoh Bandaraya Ekonomi Donat yang diterajui oleh Majlis Bandaraya Ipoh telah menerima pengiktirafan berprestij Scroll of Honour Award daripada UN-Habitat. Projek demonstrator ini berpaksikan tiga teras utama iaitu konsep regeneratif, kesihatan planet serta pemerkasaan komuniti.
Penganjuran dua program besar ini mencerminkan usaha gigih Kerajaan Negeri dan juga Agensi Kerajaan Negeri sebagai penggerak termasuk Majlis Bandaraya Ipoh dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda utama di bawah aspirasi Perak Sejahtera 2030.
- Hits: 37