LAWATAN KERJA KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA (MOF) KE UTC PERAK BAGI MENINJAU STATUS PELAKSANAAN PROJEK NAIK TARAF DAN PENYELENGGARAAN INFRASTRUKTUR

Ipoh, 1 Julai 2025 – Delegasi daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengadakan satu lawatan kerja ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak hari ini bagi meninjau status pelaksanaan projek naik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur di bangunan berkenaan.

Lawatan ini merupakan susulan daripada peruntukan yang telah disalurkan oleh MOF berjumlah RM1,789,150 bagi kerja-kerja naik taraf, serta tambahan sebanyak RM300,000 khusus untuk penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan awam di UTC Perak.

Delegasi MOF telah diketuai oleh YBhg. Puan Norazizati binti Hamzah, Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik, bersama YBrs. Encik Zainudin bin Suleiman, Timbalan Setiausaha Bahagian, Puan Zeti Arzura binti Tajul Ariff, Ketua Seksyen Penarafan Tadbir Urus, Encik Ahmad Darwin Ezahan bin Abdul Hamid, Jurutera dan Cik Fatin Nublah binti Mohamad Ishak, Pegawai Tadbir.

Antara skop kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan yang dilaksanakan ialah:

a) Pembaikan kemudahan eskalator;
b) Kerja-kerja kalis air (waterproofing) di bahagian bumbung bangunan;
c) Penggantian sistem penghawa dingin bagi agensi-agensi yang beroperasi di dalam bangunan;
d) Pemindahan dan ubah suai Pusat Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dari Lot 29 & 31 ke Lot 42 & 43;
e) Pengubahsuaian ruang Klinik Kesihatan dan Klinik Pergigian di tapak asal SPA.

Lawatan kerja dimulakan dengan sesi aluan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh yang menyambut mesra kehadiran delegasi MOF. Seterusnya, sesi taklimat teknikal telah disampaikan oleh Ir. Ts. Tuan Haji Arif bin Mohd Zainudin, Pengarah Kerja dan Bangunan MBI sebelum delegasi dibawa meninjau ke beberapa lokasi kerja naik taraf dan penyelenggaraan bersama Jabatan Pengurusan Fasiliti.

Lawatan ini menjadi indikator penting kepada ketelusan dan pemantauan rapi pelaksanaan projek, di samping membuka ruang perbincangan yang lebih konstruktif antara pihak Kementerian dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) demi penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

MBI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia atas sokongan dan komitmen berterusan dalam memperkasa fasiliti UTC Perak, selaras dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan bersepadu yang efisien, mesra rakyat serta memberi impak positif kepada warga Ipoh khususnya, dan rakyat Negeri Perak amnya.

Sebagai satu-satunya UTC di negeri ini, segala usaha naik taraf yang dilaksanakan adalah sangat signifikan dan diyakini akan terus memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

514246562 1115131267306059 4699860417264287839 N
514251102 1115131257306060 4427039517038645648 N
514256278 1115131313972721 2678611684583734902 N
514283342 1115156247303561 7687659933059030155 N
514362056 1115131307306055 4412034359316933583 N
514381872 1115131380639381 3787988442865781608 N
514409749 1115131343972718 2797820484210855979 N
514412314 1115131387306047 5654584139716388593 N
  • Hits: 50
mbir

Check out MBI Portal Radio  and MBI Radio Facebook for DJ segment info
ipohse
  • Ipoh City Council, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan
  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Copyright © 2023 Ipoh City Council (MBI). Suitable for displaying using IE version 9 & above, Mozilla Firefox version 6.0 above and Google Chrome 13.0 above with a resolution of 1024 x 768 above. Update:22/07/2025| Visitors Count :
  • All 5819583