30 Mei 2023-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh menyampaikan surat lantikan kepada 240 Ahli Jawatankuasa Perwakilan Perduduk (JPP) dan 24 Area Officer (AO) di Stadium Indera Mulia, Ipoh pagi tadi. Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman dan Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Tujuan Majlis ini diadakan adalah untuk memperkenalkan Ahli Area Officer dan Ahli JPP kepada semua Ahli Majlis mengikut zon masing-masing.
Bertitik tolak dari majlis ini, semua pihak diharap dapat bersama-sama berganding bahu dalam mengusahakan sesuatu aktiviti bagi membantu masyarakat khususnya di zon masing-masing.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar percaya JPP yang dilantik dalam kalangan masyarakat setempat lebih mengetahui keperluan serta kemahuan masyarakat di lokasi berkaitan. Manakala AO yang dilantik pula akan memudahkan Ahlimajlis menyalurkan isu-isu kepada jabatan yang betul serta boleh membantu Ahlimajlis membuat susulan terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Ini boleh mempercepatkan tindakan terhadap sesuatu isu yang dibawa kepada pihak Majlis.
Beliau turut mengingatkan semua anggota AO yang telah dilantik agar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta dedikasi demi menjaga imej baik Majlis. Anggota yang enggan melaksanakan amanah ini boleh dianggap sebagai ingkar perintah. Ini kerana sebagai penjawat awam, tertakluk kepada arahan pengurusan dari semasa ke semasa dan ianya perlu dilaksanakan.
Skop tugas AO lebih kepada sebagai penyelaras kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis di peringkat dalaman MBI. Manakala skop tugas JPP adalah bagi membantu tugas-tugas Ahli Majlis di lapangan.
Selain dari majlis penyampaian surat lantikan, turut diadakan taklimat sistem MyAduan MBI kepada Ahli JPP dan AO bagi memberi penerangan yang lebih jelas kepada Ahli Majlis dan semua Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) tentang penggunaan sistem ini demi memudahkan penyaluran aduan-aduan di zon masing-masing kepada MBI.
Semoga Ahli JPP dan AO akan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada wargakota Ipoh demi mencapai matlamat “IPOH BESTARI SEJAHTERA”.