Kuala Kangsar, 15 November 2026-DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak kepada 24 orang penerima sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tahun 2026 baginda.
Penerima berkenaan merupakan antara 218 individu yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat pada istiadat hari ini, manakala penerima selebihnya dijadualkan menerima pengurniaan masing-masing pada sesi kedua istiadat yang akan berlangsung pada 21 November 2026.
Turut berkenan berangkat pada majlis yang penuh istiadat ini, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YAA Tun Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh, Ketua Hakim Negara; YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ahli-Ahli Dewan Negara Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Antara penerima darjah kebesaran tersebut ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, yang dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat berkenaan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.