Ipoh, 26 Julai 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memandang serius kejadian seorang anggota penguat kuasa MBI yang diserang dan diugut ketika sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan di Jalan Pengkalan Barat 35, Ipoh pada 24 Julai 2026.
Berdasarkan laporan kejadian, anggota berkenaan dipercayai telah diekori, diganggu dan diugut oleh seorang lelaki selepas menjalankan tugas mengeluarkan notis kompaun. Suspek juga dipercayai bertindak agresif sehingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan anggota berkenaan.
MBI ingin menegaskan bahawa anggota penguat kuasa yang terlibat hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab rasmi selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan serta prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Sebarang bentuk kekerasan, ancaman, ugutan atau tindakan menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas merupakan perbuatan yang serius dan tidak boleh diterima sama sekali. Keselamatan serta kebajikan warga kerja MBI, khususnya anggota yang bertugas di lapangan, sentiasa menjadi keutamaan pihak Majlis.
MBI merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, atas tindakan pantas menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Pihak MBI akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu melengkapkan siasatan.
Sehubungan itu, semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan sehingga proses siasatan selesai.
MBI turut menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada anggota penguat kuasa dan menggunakan saluran aduan atau rayuan yang disediakan sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu tindakan penguatkuasaan.
MBI tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang mengancam, menyerang atau menghalang warga kerjanya ketika menjalankan amanah demi menjaga ketenteraman, keselamatan dan kesejahteraan bandar raya Ipoh.