Pengumuman

PENGANJURAN PROGRAM “JOM LEPAK DATARAN IPOH” PADA 12 SEPTEMBER 2026 TIDAK MENDAPAT KEBENARAN DARI MBI

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil maklum berhubung satu hebahan yang sedang tular di media sosial mengenai penganjuran program yang mengajak orang ramai berkumpul atau “lepak” di Dataran Bandaraya Ipoh pada Sabtu, 12 September 2026, bermula jam 8.00 malam.

Berdasarkan hebahan yang disebarkan, program berkenaan turut melibatkan dan mengajak penyertaan pemilik motosikal untuk berkumpul di lokasi berkenaan.

MBI ingin menegaskan bahawa pihak Majlis tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak penganjur bagi tujuan penganjuran program tersebut di Dataran Bandaraya Ipoh.

Sehubungan itu, MBI tidak pernah memberikan sebarang kebenaran, kelulusan atau sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.

MBI memandang serius sebarang penggunaan Dataran Bandaraya Ipoh serta kemudahan awam di bawah seliaan Majlis bagi tujuan penganjuran program atau perhimpunan tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran yang sewajarnya.

Sebarang aktiviti yang melibatkan perhimpunan orang ramai, khususnya melibatkan penyertaan motosikal dalam jumlah yang besar, berpotensi menimbulkan kesesakan lalu lintas, bunyi bising, gangguan ketenteraman awam, risiko kemalangan, tindakan atau aksi motosikal yang membahayakan serta gangguan terhadap pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.

MBI menegaskan bahawa sebarang aksi menunggang secara berbahaya, perlumbaan haram, revving enjin secara keterlaluan, penggunaan ekzos yang menghasilkan bunyi melampau, halangan jalan, parkir secara tidak terkawal atau apa-apa tindakan yang boleh membahayakan orang awam tidak akan dikompromi.

Pihak penganjur serta mana-mana individu yang menyertai program berkenaan adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala risiko, kejadian, kemalangan, kecederaan, kehilangan, kerosakan harta benda, gangguan lalu lintas, gangguan ketenteraman awam atau apa-apa perkara yang tidak diingini yang berlaku berkaitan penganjuran program tersebut kerana program ini tidak pernah mendapat kelulusan atau kebenaran pihak Majlis.

Majlis Bandaraya Ipoh tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kejadian atau implikasi yang timbul daripada program yang dianjurkan tanpa kelulusan rasmi MBI.

MBI turut menegaskan bahawa penggunaan nama, imej, logo, bangunan, latar premis Majlis Bandaraya Ipoh atau Dataran Bandaraya Ipoh dalam sebarang poster, video, hantaran media sosial atau bahan promosi tidak boleh dianggap atau ditafsirkan sebagai bukti atau isyarat bahawa program tersebut telah mendapat kelulusan, sokongan atau pengiktirafan rasmi daripada MBI.

Pihak penganjur dan orang awam dengan ini dinasihatkan supaya tidak meneruskan sebarang program, perhimpunan atau aktiviti di lokasi berkenaan tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada pihak polis, MBI serta agensi lain yang berkaitan.

MBI juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa bagi mencegah dan memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran undang undang, perlakuan jenayah, gangguan, pencerobohan, salah guna kemudahan awam atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Orang ramai, termasuk ahli-ahli kumpulan atau komuniti motosikal, dinasihatkan supaya tidak hadir atau menyertai program berkenaan atas anggapan bahawa ia merupakan program rasmi atau kononnya telah mendapat kelulusan MBI hanya berdasarkan hebahan yang tersebar di media sosial.

MBI menyeru semua pihak terutamanya pihak pengajur supaya bertindak secara bertanggungjawab, menghormati undang-undang dengan tidak menyebarkan maklumat tidak benar serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan.
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

     

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 12/09/2026.
  • Jumlah Pelawat 7115271