3 Februari 2024-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah mengadakan Sidang Media pagi tadi di Amphitheatre, Laman Sejahtera untuk mewar-warkan mengenai Konsert Muzikal yang julung kali diadakan pada 8 Februari 2024 (Khamis) sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di Amphitheatre, Laman Sejahtera, Taman DR Seenivasagam, Ipoh.
Ia turut dihadiri oleh Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Puan Normala binti Latiff, Pengarah Komuniti MBI dan Tuan Ir Ts. Arif bin Mohd Zainudin, Pengarah Kerja & Bangunan MBI.
Amphitheatre telah dibina pada 1 Julai 2021 dan siap sepenuhnya pada 1 Mac 2023. Ia adalah satu projek yang dijalankan bagi memanfaatkan kawasan lapang Taman D.R. Seenivasagam serta dibina bersebelahan tasik buatan.
Amphitheatre merupakan sebuah pentas terbuka dan boleh memuatkan seramai 800 orang penonton yang mana ianya sesuai digunakan untuk pertunjukan hiburan dan seni selaras dengan pengiktirafan bandar raya Ipoh sebagai Bandar Raya Muzik oleh UNESCO Creative Cities Network (UCCN) pada 31 Oktober 2023.
Ini akan menjadikan Amphitheatre sebagai tempat tumpuan penggemar muzik dan seni untuk menggunakan kawasan ini untuk mempromosikan seni persembahan dan juga menjadi destinasi pelancongan baharu untuk pengunjung tempatan dan luar negara.
Pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM250,000.00 untuk menaiktaraf dan menambahbaik pencahayaan di sekitar kawasan Amphitheatre termasuk di kawasan pulau berhadapan dengan Amphitheatre untuk menjadikan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada para pengunjung pada waktu malam. Kerja-kerja menaiktaraf ini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya sebelum Konsert Muzikal.
YB Menteri KPKT melalui Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah bersetuju dan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000.00 dalam masa terdekat dan Majlis Bandaraya Ipoh juga telah memberi komitmen dengan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM250,000.00 yang menjadikan jumlah peruntukan tambahan ini berjumlah RM750,000.00. Peruntukan tambahan ini adalah bagi kerja-kerja menaiktaraf landskap sebanyak RM250,000.00 dan penambahan pencahayaan sebanyak RM500,000.00 di sekitar kawasan Taman D.R. Seenivasagam termasuk kawasan Amphitheatre bagi menambah tarikan kepada penggiat seni dan juga pengunjung.
Konsert Muzikal adalah hasrat yang diutarakan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengadakan program ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di samping merasmikan pencahayaan dan juga aktiviti bot.
Konsert Muzikal ini akan diadakan pada 8 Februari 2024 jam 8.08 malam dengan jangkaan penonton seramai 8,000 orang. Pelbagai aktiviti akan diadakan iaitu persembahan tarian naga dan singa, persembahan tarian tradisional dan nyanyian lagu Cina, persembahan orkestra dan pertunjukan bunga api. Jualan makanan dan minuman dengan konsep food truck juga disediakan.
Semoga dengan adanya Amphitheatre ini dapat menjadi satu lagi platform bagi penggiat seni di Bandar Raya Ipoh untuk menengahkan bakat-bakat serta karya-karya seni mereka.