9 Mac 2024-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan Papan Tanda ' Ipoh' sumbangan Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PTA) sempena Ulangtahun ke-50 PTA petang tadi.
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd. Odzman bin Abdul Kadir, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Y.Bhg. Dato' Mohd Zainal Abidin, bin Abd. Kadir, Mantan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Ir. Atikah binti Md Ruzi, Jurutera Daerah Kinta, Encik Zulhymi Effendy bin Zakaria, Wakil Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Persatuan Pelancongan Negeri Perak.
MBI mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh PTA dan menghargai program-program yang dijalankan. Peranan PTA sebagai badan perantara MBI dengan pemain dalam industri pelancongan memudahkan penglibatan sekto swasta bersama pihak kerajaan membangunkan industri pelancongan.
Sumbangan PTA mendirikan papan tanda ‘IPOH’ ini akan menambahkan satu lagi Mercu Tanda bagi bandaraya Ipoh yang amat bertepatan sekali dengan hasrat Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh untuk mempromosikan negeri Perak dan Bandaraya Ipoh sempena Tahun Melawat Perak 2024. Peranan sebegini boleh dicontohi oleh badan-badan serta sektor swasta lain dalam memainkan peranan untuk menceriakan suasana bandaraya Ipoh.
MBI amat menggalakkan PTA berperanan sebagai badan perantara di antara sektor swasta dan MBI untuk bersama-sama merancang meletakkan Bandaraya Ipoh antara bandaraya terkemuka di Rantau ASEAN ini.
MBI sentiasa bersedia untuk menerima pandangan dan cadangan untuk sama-sama membangunkan Bandaraya Ipoh. Banyak potensi perlu diterokai dan peranan sektor swasta boleh membantu MBI dalam pelaksanaannya.
PTA boleh juga berperanan mempertingkatkan hubungan dengan bandaraya-bandaraya yang ada pertalian dengan MBI seperti Fukuoka yang telah lama terjalin.
PTA melalui inisiatifnya berkolaborasi dengan Persatuan Taekwondo Negeri Perak dalam menganjurkan satu kejohanan peringkat antarabangsa di Ipoh pada bulan Jun ini.
Pada bulan Ogos ini, PTA juga akan berkolaborasi dengan Malaysia Association of Marching Arts dalam menganjurkan satu lagi kejohanan peringkat antarabangsa di bandaraya Ipoh.
Kedua-dua acara ini akan melibatkan ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke Ipoh. Limpahan ekonomi terutama kepada pengusaha penginapan, makanan, pengangkatan dan lain-lain lagi menepati objektif utama Tahun Melawat Perak 2024.
MBI bersedia untuk memberi sokongan dan kerjasama dengan menyediakan kemudahan bagi membantu persiapan kejohanan berkenaan.
Semoga usaha ini akan memperolehi kejayaan seperti yang telah dirancang dan seterusnya meningkatkan kemasukan pelancong ke bandaraya Ipoh dan negeri Perak.