Ipoh, 15 Ogos 2026 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, yang juga Penaung Diraja Akademi Hoki Raja Ashman Shah AHF, berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Hi-Tea sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Akademi Hoki Raja Ashman Shah AHF, sekali gus menyempurnakan pelepasan Pasukan Hoki Special Olympics yang akan menyertai FIH ParaHockey (Hockey ID) World Cup 2026.
Majlis yang berlangsung di Dewan Albatross, Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh, hari ini dianjurkan oleh Akademi Hoki Raja Ashman Shah AHF bagi meraikan ulang tahun ke-15 penubuhan akademi berkenaan, di samping memberikan penghormatan dan sokongan kepada pasukan hoki Special Olympics yang bakal membawa cabaran negara pada kejohanan FIH ParaHockey (Hockey ID) World Cup 2026 di Belgium dan Belanda, yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 25 Ogos 2026.
Acara dimulakan dengan ketibaan Pasukan Para Hoki ID serta para tetamu jemputan sebelum keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan tayangan montaj mengenai perjalanan dan pencapaian Akademi Hoki Raja Ashman Shah AHF, diikuti ucapan oleh YBhg. Dato’ Haji Abd. Rahim bin Md. Ariff, Pengarah Eksekutif Lembaga Amanah Akademi Hoki Raja Ashman Shah AHF.
Turut menyampaikan ucapan ialah Dato’ Seri Chaiyapak Siriwat, Naib Presiden Kanan Asian Hockey Federation (AHF).
Majlis Santapan Hi-Tea kemudiannya berlangsung dan disusuli dengan sesi bergambar bersama pegawai serta pemain-pemain pasukan, selain sesi bergambar bersama Jawatankuasa Pengurusan Akademi Hoki Raja Ashman Shah AHF.
Majlis berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan Negeri Perak serta YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Kehadiran Datuk Bandar Ipoh mencerminkan sokongan berterusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap usaha memperkasa pembangunan sukan yang inklusif, khususnya dalam menyediakan ruang dan peluang kepada atlet berkeperluan khas untuk mengembangkan potensi, menyerlahkan bakat serta mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
MBI turut mendoakan agar Pasukan Special Olympics Para Hoki ID yang akan beraksi pada FIH ParaHockey (Hockey ID) World Cup 2026 diberikan kejayaan, dipermudahkan segala urusan serta mampu mempamerkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan.
Penyertaan pasukan negara ke kejohanan berprestij ini bukan sahaja membawa aspirasi Malaysia, malah menjadi simbol bahawa sukan merupakan platform penting dalam membina keyakinan diri, semangat berpasukan dan keterangkuman sosial.
Ia juga membuktikan bahawa setiap individu, tanpa mengira latar belakang mahupun keupayaan, berhak diberikan peluang untuk mengembangkan potensi, mengejar kecemerlangan dan menyumbang kepada kejayaan negara.