Ipoh, 18 September 2026 – Program Taqarrub Bersama Anak Muda bersempena Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) Tahun 2026 telah berlangsung dengan meriah di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebagai wadah mendekati dan menyantuni golongan belia melalui pendekatan santai, interaktif serta berteraskan nilai-nilai kerohanian.
Program berkenaan telah dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Turut hadir ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan, para jemputan serta golongan anak muda dari seluruh negeri Perak.
Pengisian program menampilkan dua sesi sembang santai bersama penceramah terkenal, Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid, yang dikendalikan oleh pengacara dan selebriti tanah air, Encik Ahmad Nabil bin Ahmad.
Program turut diserikan dengan bacaan doa dan persembahan akustik yang mewujudkan suasana santai, mesra serta penuh bermakna. Pendekatan tersebut membolehkan mesej berkaitan pembentukan sahsiah, pengukuhan jati diri dan penghayatan nilai-nilai murni disampaikan secara lebih dekat, segar dan berkesan kepada golongan belia.
Penganjuran program seumpama ini amat signifikan dalam menyediakan ruang interaksi yang sihat dan positif kepada generasi muda, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keseimbangan antara pembangunan rohani, emosi dan sosial.
Kehadiran YAB Menteri Besar Perak turut mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mendampingi golongan belia, memahami aspirasi mereka serta memperkasakan peranan anak muda sebagai pewaris kepimpinan dan penggerak pembangunan negeri pada masa hadapan.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyambut baik pelaksanaan program yang memberikan manfaat kepada generasi muda serta menyokong usaha Kerajaan Negeri Perak untuk melahirkan golongan belia yang berilmu, berakhlak, berdaya tahan dan mampu memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan masyarakat, negeri dan negara.
Program ini juga selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 serta komitmen MBI dalam merealisasikan Ipoh Bestari Sejahtera, khususnya menerusi pembentukan komuniti bandar raya yang harmoni, inklusif dan sejahtera.