Ipoh, 19 September 2026 – Majlis Perasmian Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) Tahun 2026 telah berlangsung dengan meriah di Stadium Indera Mulia, Ipoh, petang ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
Ia turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bersama tetamu kehormat, rakan strategik, wakil jabatan dan agensi serta golongan anak muda yang hadir memeriahkan karnival berkenaan.
KAMU 2026 menjadi wadah menghimpunkan golongan belia menerusi pelbagai pengisian yang memberi ruang kepada mereka untuk berinteraksi, mengetengahkan bakat dan kreativiti serta menyertai aktiviti yang berteraskan pembangunan anak muda.
Antara pengisian pada majlis perasmian ialah persembahan pembukaan, ucaptama KAMU 2026 oleh Menteri Besar Perak, gimik perasmian KAMU 2026, persembahan montaj serta penyerahan plak penghargaan kepada rakan strategik KAMU 2026.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Penghargaan Tangan Emas sebagai salah satu acara utama dalam atur cara perasmian.
Seusai majlis, Menteri Besar Perak turut mengadakan walkabout ke tapak karnival bagi meninjau pelbagai aktiviti dan pengisian yang disediakan sepanjang penganjuran KAMU 2026.
Penganjuran karnival ini turut menyediakan platform bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, agensi, rakan strategik dan golongan belia, selain menggalakkan penyertaan anak muda dalam aktiviti yang positif serta bermanfaat.