12 Oktober 2024 - YB Tuan Steven Chaw Kam Foon, ADUN Menglembu telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pasar Malam “Waterfront City” di Lahat Mines petang tadi.
Ia turut dihadiri oleh Clr. Tuan Chen Jian Cong, Ahli Majlis MBI Zon Menglembu bersama Encik M.Raman A/L Maran, Pengarah Kesihatan Bandaraya MBI.
Tahniah kepada Persatuan Pasar Pagi dan Pasar Malam Ipoh Perak diatas kejayaan membuka satu lagi tapak pasar malam baharu menjadikan jumlah pasar malam dibawah penganjuran persatuan kepada 9 tapak pasar malam.
Pasar malam ini beroperasi pada setiap hari Sabtu di Jalan Lahat Mines berdekatan WATERFRONT CITY, Lahat Mines, Ipoh. Pasar malam bermula sejak November 2023 dengan 120 petak dan 80 peniaga yang telah diberi lesen oleh MBI.
Pasar malam yang ke-9 ini diuruskan dibawah pengurusan Encik Wong Kok Hoe yang bukan satu nama baharu dalam pengurusan dan operasi pasar malam di bawah MBI. Pengalaman beliau dan persatuannya membuka tapak baharu, pengendalian yang baik, mengekalkan momentum jualan telah banyak membantu peniaga kecil disekitar MBI dalam meningkatkan pendapatan bulanan mereka.
Justeru itu, MBI akan sentiasa memberikan dokongan dan sokongan diatas usaha murni ini selagi ia mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan MBI.
Semoga usaha murni persatuan dan peniaga pasar malam ini akan terus maju dan berjaya.