Ipoh, 21 Oktober 2026- Seramai 40 anggota lapangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang terdiri daripada Pembantu Khidmat Am, Pemandu Kenderaan dan Mandor menerima Ganjaran (Reward) Pencapaian Cemerlang, hari ini.
Pemilihan penerima dibuat berdasarkan prestasi kerja bulanan bagi tempoh Jun hingga September 2026, dengan mengambil kira mutu perkhidmatan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang tempoh berkenaan.
Majlis penyampaian ganjaran tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Simee, Ipoh.
Inisiatif ini sebagai tanda penghargaan MBI terhadap dedikasi dan sumbangan anggota lapangan yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran operasi serta penyampaian perkhidmatan perbandaran kepada warga kota.
Setiap penerima yang terpilih, menerima sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM100, selain gambar serta nama penerima turut dipamerkan di pejabat atau lokasi tumpuan orang ramai sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.