Bangi, 22 Ogos 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, hari ini meneruskan kunjungan ke venue pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi memberikan sokongan moral serta suntikan semangat kepada atlet-atlet Perak yang sedang membawa cabaran negeri dalam temasya sukan berprestij tersebut.
Kunjungan berkenaan melibatkan venue pertandingan tinju dan kriket di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, sebagai tanda sokongan berterusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap kontinjen Perak dalam usaha memburu kejayaan dan mengharumkan nama negeri di pentas SUKMA 2026.
Kehadiran Datuk Bandar Ipoh ke venue pertandingan turut mencerminkan komitmen MBI dalam memberikan sokongan kepada pembangunan sukan negeri, khususnya kepada para atlet yang telah mencurahkan sepenuh usaha, disiplin dan semangat juang demi menyumbang kejayaan kepada kontinjen Perak.
Dalam kesempatan tersebut, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada para atlet agar terus berjuang dengan penuh keyakinan, kekal fokus serta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam setiap pertandingan.
Datuk Bandar Ipoh turut diberikan penghormatan untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang acara kriket, sekali gus menyemarakkan lagi suasana pertandingan serta memberikan pengiktirafan kepada para atlet atas pencapaian dan semangat kesukanan yang ditampilkan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan jurulatih, pegawai pasukan serta semua pihak yang sentiasa memberikan komitmen dan sokongan kepada para atlet sepanjang persiapan dan penyertaan dalam temasya berkenaan.
MBI mendoakan agar seluruh kontinjen Perak terus melakar kejayaan cemerlang sepanjang SUKMA 2026 serta berjaya merealisasikan aspirasi “Silver To Gold”, sekali gus mengangkat martabat dan kecemerlangan sukan negeri Perak di peringkat kebangsaan.