Ipoh, 26 September 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, telah menyempurnakan Perasmian Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang berlangsung di Medan Selera Dato’ Tahwil Azar, Ipoh, pagi ini.
Turut hadir memeriahkan program ialah YBhg. Dato’ Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI; Tuan A’zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya; Ahli-Ahli Majlis MBI; serta Ketua-Ketua Jabatan MBI.
Program yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu merupakan sebahagian daripada sambutan World Cleanup Day, yang disambut pada 20 September setiap tahun sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat di peringkat global terhadap kepentingan kebersihan awam dan kelestarian alam sekitar.
Seiring dengan aspirasi tersebut, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan Hari Cuci Malaysia (HCM): Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day sebagai platform untuk menggerakkan masyarakat secara bersama dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Di peringkat MBI, program ini dilaksanakan menerusi pendekatan gotong-royong secara mega dan bersepadu yang melibatkan masyarakat, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi dan rakan-rakan strategik. Pelaksanaan program merangkumi aktiviti pembersihan kawasan, pengurusan sisa, kitar semula dan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle.
Bagi penganjuran tahun ini, MBI menyasarkan penyertaan seramai 1,000 orang, sekali gus mencerminkan komitmen Majlis dalam memperluas penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Pelaksanaan HCM 2026 turut melibatkan Rakan Strategik Ekonomi Kitaran MBI sebagai antara pihak penting yang menyokong penganjuran program ini.
Penglibatan mereka amat signifikan dalam memperkukuh pendekatan ekonomi kitaran melalui pengasingan sisa, kitar semula, penggunaan semula bahan serta pengurangan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
Sebagai perbandingan, pelaksanaan HCM pada tahun 2025 di peringkat MBI telah mencatatkan penyertaan seramai 840 orang. Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak.
Hasil pelaksanaan HCM 2025 menunjukkan impak yang amat memberangsangkan apabila sebanyak 60.79 tan metrik sampah kebun dan pukal telah dikumpulkan, di samping 8.5 kilogram sisa e-waste serta 37.5 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpul.
Pencapaian tersebut jelas membuktikan bahawa penglibatan komuniti dan rakan strategik memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha menjaga kebersihan bandar serta menggalakkan pengurusan sisa secara lebih bertanggungjawab.
Dalam pada itu, MBI turut menegaskan bahawa Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (Majlis Bandaraya Ipoh) 2026 telah mula dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Perak bermula tahun ini. Penguatkuasaan undang-undang kecil ini merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh pengurusan sisa pepejal serta memastikan semua pihak yang menjana sisa melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara teratur dan bertanggungjawab.
Bagi pihak yang ingkar, tindakan pengeluaran tawaran kompaun maksimum RM1,000.00 akan dilaksanakan sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang kecil tersebut.
MBI menyeru semua pihak termasuk komuniti, sektor industri, premis perniagaan dan institusi agar bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam memastikan sisa yang dijana diurus dan dilupuskan mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh Majlis. Pendekatan ini amat penting bagi memastikan kebersihan bandar raya terus terpelihara serta mengurangkan risiko pembuangan sisa secara tidak terkawal.
Selain itu, MBI ingin menegaskan bahawa pengurusan dan pelupusan sisa bukanlah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak, khususnya pemilik atau pengusaha aktiviti perindustrian, perdagangan dan institusi.
Pelaksanaan HCM 2026 di Medan Selera Dato’ Tahwil Azar diharapkan dapat menjadi platform untuk memperkukuh semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kawasan bandar sentiasa bersih, selamat dan selesa untuk didiami serta dikunjungi.
MBI juga menyeru seluruh masyarakat di kawasan pentadbiran bandar raya Ipoh supaya terus menjadikan kebersihan sebagai satu budaya dan tanggungjawab bersama, bukan sahaja melalui penyertaan dalam program gotong-royong, malah menerusi amalan harian seperti membuang sampah dengan betul, mengurangkan penggunaan bahan sekali guna, mengasingkan sisa di punca serta mengamalkan kitar semula.
Komitmen ini selaras dengan usaha MBI untuk meningkatkan kualiti kebersihan bandar raya dan menyokong agenda kelestarian alam sekitar, seterusnya menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang lebih bersih, hijau, mampan dan berdaya huni.
Justeru, Program Hari Cuci Malaysia 2026 wajar dijadikan pemangkin kepada pembudayaan amalan kebersihan, kitar semula dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab. Dengan kerjasama semua pihak serta sasaran penyertaan seramai 1,000 orang, matlamat menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan mampan akan dapat terus diperkukuhkan.
Semoga segala usaha yang dilaksanakan bersempena HCM 2026 ini memberi impak positif kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembentukan persekitaran bandar yang lebih bersih dan lestari. Pada masa yang sama, usaha ini diharapkan dapat menyokong aspirasi MBI ke arah “Smart and Green City” menjelang tahun 2030 serta membudayakan amalan kitar semula dan penjagaan kebersihan persekitaran dalam kalangan masyarakat.