Ipoh, 29 Oktober 2026-DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, Ipoh.
Keberangkatan baginda turut diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan 26 anugerah membabitkan 124 penerima yang terdiri daripada pelajar, guru dan pengurusan institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran Manual Urus Keselamatan Makanan dan Halal Institusi Pendidikan Islam Negeri Perak (MUKMIN Perak).
Turut hadir, pada program itu YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor serta YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Seri Aznee binti Abu Samah.
Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Dato’ Haji Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Dato’ Haji Harith Fadzilah bin Hj Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta turut hadir YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.