Aktiviti & Berita

IPOH LOW CARBON DAY KEMBALI MERIAH, SENAMROBIK SEMARAK GAYA HIDUP SIHAT DAN BANDAR RENDAH KARBON

POH, 27 September 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkukuh komitmen dalam membudayakan kelestarian alam sekitar dan gaya hidup sihat menerusi penganjuran Ipoh Low Carbon Day yang berlangsung meriah di Dataran Bandaraya Ipoh, pagi ini.

Program berkenaan turut dihadiri oleh Tuan Zulqarnain bin Mohamad M, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), bersama Ketua-Ketua Jabatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Penganjuran kali ini tampil dengan kelainan apabila memberi penekanan kepada agenda kesihatan dan kecergasan komuniti, selari dengan usaha MBI untuk terus memperluaskan amalan gaya hidup sihat di samping memupuk kesedaran mengenai kepentingan budaya rendah karbon dalam kalangan masyarakat.

Antara tarikan utama ialah Senamrobik 1 Jam yang berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, persatuan penduduk, kelab belia serta komuniti setempat. Aktiviti tersebut berlangsung dalam suasana penuh bertenaga dan ceria, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan warga bandar raya.

Kemuncak kemeriahan turut diserikan dengan cabutan bertuah, termasuk hadiah kepada peserta senamrobik sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan komitmen masyarakat dalam menjayakan program berkenaan.

Program itu turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila dianggarkan kira-kira 1,000 pengunjung membanjiri kawasan program sejak pukul 7.00 pagi, sekali gus membuktikan tahap kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap inisiatif gaya hidup sihat serta pembangunan bandar rendah karbon semakin meningkat.

Selaras dengan aspirasi Smart City, beberapa jalan utama di sekitar lokasi program turut ditutup sementara kepada kenderaan bermotor. Langkah tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon, malah mewujudkan ruang yang lebih selamat dan selesa untuk aktiviti berjalan kaki, bersenam serta rekreasi bersama keluarga.

Penganjuran Ipoh Low Carbon Day merupakan sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Program Bandar Raya Pintar dan Rendah Karbon, yang menjadi antara inisiatif penting dalam mentransformasikan Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang lebih mampan, hijau, berdaya huni dan sejahtera menjelang tahun 2030.

Melalui pengintegrasian aktiviti fizikal seperti senamrobik dengan agenda kelestarian alam sekitar, MBI berharap mesej mengenai penjagaan kesihatan, kecergasan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dapat diterapkan secara lebih santai, inklusif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

MBI akan terus mempergiatkan pelaksanaan program berteraskan kelestarian dan kesejahteraan komuniti bagi merealisasikan aspirasi Ipoh Bestari Sejahtera serta menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang bersih, hijau, sihat dan rendah karbon.

825281479 1518341306985051 8531734003895077350 N
825281536 1518341236985058 7099560840242633848 N
825281541 1518341316985050 7531075932091621836 N
825281558 1518341216985060 342665936989967424 N
825281588 1518341346985047 4256743559425082308 N
828052491 1518341356985046 5949096161067829287 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

     

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 28/09/2026.
  • Jumlah Pelawat 7175952