Ipoh, 23 September 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menganjurkan Kursus Khas Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) bagi kumpulan pelaksana yang diselaraskan oleh Unit Integriti, MBI bertempat di Ipoh Convention Centre, Ipoh.
Seramai 120 orang peserta kursus terdiri daripada kumpulan pelaksana MBI telah menyertai dan menjayakan kursus ini.
Melalui kursus ini, MBI memperteguh komitmen memperkukuh tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam. Peserta kursus diberi pendedahan dan interaksi mengenai dasar berkaitan pembudayaan integriti, bentuk kesalahan lazim dalam perolehan kerajaan, pengurusan risiko rasuah (CRM) dan pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 (NACS).
Kumpulan pelaksana merupakan barisan hadapan (frontliners) MBI yang berurusan secara langsung dengan masyarakat seperti penguatkuasaan, lesen, dan operasi lapangan. Pendedahan menerusi MPGIA memastikan peserta kursus tidak mudah terdedah kepada risiko salah guna kuasa, mengekalkan akauntabiliti, serta mampu menyampaikan perkhidmatan yang telus dan cekap.
Kursus ini telah menampilkan penceramah jemputan iaitu Encik Mohammad Rozli bin Yusuf, Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Perak dan turut disertai Encik Irwan Effendie bin Mohammad Shukri, Ketua Unit Integriti MBI.