Ipoh, 25 Oktober 2026 – Lebih 1,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan Pesta Budaya Nusantara 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri YBrs. Tuan Zulhisham bin Ahmad Shukor, Pegawai Daerah Kinta; YBhg. Clr. Dato’ Haji Mazlan bin Abd Rahaman, Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mewakili Datuk Bandar Ipoh; Puan Nur Hanim binti Dato’ Mohamed Khairuddin, Pengurus Besar People Of Remarkable Talents (PORT), barisan pengurusan tertinggi PORT serta wakil agensi kerajaan.
Penganjuran bersama PORT dan MBI ini diadakan bersempena dengan Ipoh Music Symposium kali kelapan sebagai platform untuk memperkasa seni dan budaya, di samping memperluas apresiasi masyarakat terhadap kepelbagaian warisan budaya Nusantara.
Pesta Budaya Nusantara 2026 telah menampilkan 10 persembahan utama yang menggabungkan bakat penggiat seni tempatan, peserta antarabangsa dan artis tanah air.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat memperkukuh interaksi silang budaya serta mengangkat Ipoh sebagai destinasi seni dan muzik yang berdaya tarikan, sekali gus menarik minat masyarakat tempatan dan antarabangsa.