Ipoh, 18 Oktober 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Hadiah dan Majlis Santapan Tengah Hari sempena Kejohanan Golf Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Jubilee Ballroom, Royal Perak Golf Club (RPGC) di Ipoh, hari ini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa.
Hadir sama YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; YTM Tuanku Dato' Seri Kamel bin Tuanku Rijaludin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak serta turut hadir YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, ketua-ketua jabatan negeri, persekutuan dan badan berkanun.
Dalam majlis berkenaan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan hadiah bagi Kategori Keseluruhan dan Acara Berpasukan Keseluruhan Antara Daerah. Dalam majlis yang sama baginda juga turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih di Perak sebagai tanda keperihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
Kejohanan Golf Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang dianjurkan sempena ulang tahun kelahiran DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, bertujuan mencungkil serta mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam arena sukan golf di negeri Perak, di samping memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain.