Ipoh, 25 Ogos 2026 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 2026 yang berlangsung di Casuarina Convention Centre, Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa serta Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, ketua-ketua jabatan dan agensi serta para tetamu jemputan.
Turut hadir ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, sebagai tanda sokongan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap penganjuran program keagamaan yang berperanan menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuh penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah SAW.
Majlis yang diadakan bersempena 12 Rabiulawal 1448H itu turut diisi dengan pelbagai pengisian kerohanian antaranya zikir Asma’ Al-Husna, bacaan ayat suci Al-Quran berserta terjemahan, selawat beramai-ramai serta Titah Diraja.
Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada para penerima dalam beberapa kategori sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan peranan mereka dalam pembangunan serta pengimarahan syiar Islam di Negeri Perak.
Penganjuran sambutan Maulidur Rasul ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping menyemai nilai-nilai murni, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.