Aktiviti & Berita

MBI HARGAI ANGGOTA LAPANGAN CEMERLANG JABATAN TAMAN DAN LANDSKAP MELALUI PEMBERIAN “REWARD”

Ipoh, 14 September 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus menghargai dan mengiktiraf komitmen serta sumbangan anggota lapangan yang menjadi antara tonggak utama dalam memastikan keindahan, kebersihan dan keceriaan landskap Bandaraya Ipoh sentiasa terpelihara menerusi pemberian “Reward” kepada Anggota Lapangan Cemerlang Jabatan Taman dan Landskap MBI bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.

LAr. Mohd Nazim bin Mohamed Nor, Pengarah Taman dan Landskap, Majlis Bandaraya Ipoh, mewakili YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, telah menyempurnakan penyampaian “Reward” kepada anggota MBI yang terpilih atas prestasi dan komitmen cemerlang mereka dalam melaksanakan tugas.

Inisiatif yang dicetuskan oleh YBhg. Datuk Bandar Ipoh ini merupakan salah satu usaha MBI dalam membudayakan kecemerlangan, meningkatkan motivasi serta menyuntik semangat dalam kalangan anggota lapangan agar terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Jabatan Taman dan Landskap MBI memainkan peranan penting dalam melaksanakan pembangunan serta pengurusan landskap bandar raya, termasuk kerja-kerja penyelenggaraan pokok, kawasan lapang, taman awam, kemudahan rekreasi dan alat permainan, selain memastikan persekitaran bandar sentiasa berada dalam keadaan terurus, selamat, indah dan kondusif.

Pemilihan penerima “Reward” melibatkan anggota lapangan dalam kalangan Pembantu Perkhidmatan Am, Pemandu Kenderaan dan Mandor berdasarkan beberapa kriteria penilaian yang ditetapkan. Antaranya ialah bebas daripada tindakan tatatertib, mempunyai rekod kehadiran yang cemerlang, tidak mengambil cuti sakit atau cuti rehat dalam bulan penilaian, tidak lewat hadir bertugas serta menunjukkan tahap disiplin, komitmen dan prestasi kerja yang baik.

Penilaian akhir penerima dibuat oleh panel Jabatan Taman dan Landskap bagi memastikan pemilihan dilaksanakan secara telus, adil dan berdasarkan merit.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, seramai 60 anggota daripada 12 unit di bawah Jabatan Taman dan Landskap MBI telah dipilih sebagai penerima berdasarkan kecemerlangan mereka dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok, kawasan lapang, taman awam serta kemudahan dan alat permainan.

Setiap penerima menerima Sijil Penghargaan Cemerlang serta ganjaran wang tunai berjumlah RM100, yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing. Sebagai satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terbuka, nama serta gambar penerima turut dipamerkan di lokasi strategik yang sering dikunjungi orang ramai.

MBI berharap pengiktirafan ini dapat menjadi pemangkin kepada seluruh anggota lapangan untuk terus meningkatkan mutu kerja, memperkukuh disiplin dan produktiviti serta mewujudkan persaingan sihat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga bandar raya.

Penghargaan ini juga mencerminkan komitmen MBI bahawa setiap usaha, keringat dan sumbangan anggota, khususnya mereka yang bertugas di lapangan, sentiasa dihargai dalam usaha bersama menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang bersih, indah, hijau, selesa dan sejahtera selaras dengan aspirasi Ipoh Bestari Sejahtera.

813372853 1480519334100582 8189865989719226998 N
813421480 1480519404100575 4238588276205093166 N
813421602 1480519410767241 1361579063801328864 N
813624534 1480519440767238 1887003120543106729 N
814234283 1480519344100581 811677585727406751 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

     

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 18/09/2026.
  • Jumlah Pelawat 7138383