Ipoh, 31 Ogos 2026 – Kontinjen Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih tempat ketiga Perbarisan Terbaik bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan/Badan Berkanun, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Swasta sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 yang berlangsung pagi tadi.
Atas pencapaian tersebut, kontinjen MBI membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 berserta sijil penghargaan.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyampaikan hadiah berkenaan kepada Encik Muhammad Firdaus bin Hassan, Ketua Kontinjen Kawad Kaki MBI.
Kontinjen MBI pada tahun ini terdiri daripada 57 anggota perbarisan dan 12 pegawai urus setia daripada pelbagai jabatan MBI. Kesemua anggota telah menjalani latihan intensif sejak 3 Ogos 2026 sebagai persediaan bagi memastikan tahap disiplin, keseragaman gerak langkah serta mutu persembahan berada pada tahap terbaik.
Kesungguhan, komitmen dan semangat berpasukan yang dipamerkan sepanjang perbarisan jelas terserlah menerusi gerak langkah yang tersusun, disiplin tinggi serta persembahan penuh bertenaga sehingga berjaya memikat perhatian barisan juri dan melayakkan kontinjen MBI meraih kedudukan tersebut.
Kejayaan ini turut didorong oleh sokongan dan bimbingan berterusan YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bersama Tuan A’zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya, selain komitmen tinggi para pegawai, jurulatih, urus setia serta seluruh anggota kontinjen yang memberikan sepenuh tenaga sepanjang tempoh latihan dan persediaan.
Pencapaian berkenaan bukan sahaja menjadi kebanggaan seluruh warga MBI, malah mencerminkan nilai disiplin, kesatuan, semangat berpasukan serta patriotisme yang tinggi dalam kalangan warga kerja Majlis Bandaraya Ipoh.
MBI merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh anggota kontinjen, pegawai, jurulatih serta urus setia atas komitmen dan dedikasi yang diberikan sehingga berjaya mengharumkan nama Majlis Bandaraya Ipoh pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2026.