IPOH, 28 September 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkukuh komitmennya ke arah pembangunan bandar raya yang mampan, rendah karbon dan berdaya tahan menerusi pelancaran rasmi Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas Berkapasiti 2 Megawatt (MW) di Tapak Pelupusan Sanitari Lahat, Ipoh, hari ini.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Kerajaan Negeri Perak dan MBI memperluas penggunaan teknologi hijau, meningkatkan kecekapan pengurusan sisa serta memperkasa penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.
Turut hadir ialah YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak; YB Encik Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak; YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh; YBhg. Dato’ Roshidi bin Hashim, Pengarah Urusan Teraju Sepadu Sdn. Bhd.; serta Puan Eliza Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Selekta Spektra Sdn. Bhd.
DARIPADA SISA KEPADA SUMBER TENAGA HIJAU
Projek yang dikenali sebagai Projek Pembangunan Loji Tenaga Boleh Baharu Berkapasiti 2MW Berasaskan Biogas di Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Papan Ulu Johan, Mukim Belanja, Ipoh memanfaatkan gas tapak pelupusan yang terhasil daripada proses pereputan sisa pepejal untuk ditukarkan kepada tenaga elektrik boleh diperbaharui.
Projek ini telah mencapai Feed-in Tariff Commercial Date (FITCD) pada 19 Mei 2025, menandakan bermulanya operasi komersial penjanaan tenaga elektrik boleh diperbaharui berasaskan biogas di tapak berkenaan.
Dengan kapasiti penjanaan 2MW, loji ini membolehkan gas tapak pelupusan dimanfaatkan secara produktif sebagai sumber tenaga, di samping membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, khususnya metana, ke atmosfera.
Pelaksanaan projek ini merupakan contoh praktikal penerapan ekonomi kitaran (circular economy) dalam pengurusan sisa pepejal apabila bahan buangan yang lazimnya dianggap sebagai liabiliti alam sekitar ditransformasikan kepada sumber yang mempunyai nilai ekonomi dan tenaga.
Pendekatan ini turut mencerminkan transformasi pengurusan sisa bandar daripada model konvensional yang berorientasikan pelupusan kepada pendekatan yang lebih mampan melalui konsep waste-to-energy, sekali gus menyokong peralihan Ipoh ke arah bandar raya rendah karbon.
MENTERJEMAH DOUGHNUT ECONOMICS KEPADA TINDAKAN
Dalam konteks pembangunan bandar yang lebih menyeluruh, projek ini turut mencerminkan prinsip Doughnut Economics (Ekonomi Donat) yang menggalakkan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat dalam lingkungan batas ekologi.
Pendekatan tersebut memberi penekanan kepada penggunaan sumber secara lebih cekap, pengukuhan ekonomi kitaran serta penerapan teknologi hijau bagi membentuk sistem bandar yang mampu memenuhi keperluan masyarakat tanpa meningkatkan tekanan terhadap alam sekitar secara tidak mampan.
Inisiatif ini juga selari dengan Pelan Tindakan Ipoh Doughnut Economics: A City Portrait in Action 2025–2030, khususnya Tema Projek Demonstrator 2: Planetary Health – Integrated Waste Management Strategy, yang memberi penekanan kepada pengukuhan sistem pengurusan sisa secara bersepadu.
Pemanfaatan gas tapak pelupusan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui memperlihatkan bagaimana aspirasi strategik tersebut dapat diterjemahkan daripada perancangan kepada pelaksanaan dan hasil nyata di lapangan.
Pada masa yang sama, projek ini menyokong peralihan ke arah sistem bandar yang lebih rendah karbon, regeneratif dan berdaya tahan, dengan meletakkan pengurusan sisa sebagai sebahagian daripada penyelesaian bandar dalam menangani cabaran perubahan iklim, kecekapan penggunaan sumber dan peralihan tenaga.
KERJASAMA STRATEGIK UNTUK KELESTARIAN DAN KOMUNITI
Seiring dengan pelancaran loji ini, kerjasama antara MBI dengan Teraju Sepadu Sdn. Bhd. selaku rakan strategik turut diperkukuh menerusi Perjanjian Kerjasama Program Kelestarian Alam Sekitar dan Sumbangan Komuniti antara kedua-dua pihak.
Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk memperluas pelaksanaan inisiatif kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi pembangunan Ipoh sebagai bandar raya yang inklusif dan mampan.
Menerusi kerjasama ini, program berkaitan kesedaran dan pendidikan alam sekitar, pengurusan sisa, pembangunan komuniti serta aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dapat diperkasakan secara berterusan.
MEMPERKUKUH HALA TUJU IPOH SEBAGAI BANDAR RAYA RENDAH KARBON
MBI percaya kejayaan pembangunan Loji Biogas 2MW ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Perak, Majlis Bandaraya Ipoh, rakan strategik, pihak pengendali serta agensi teknikal berkaitan dalam merealisasikan agenda pembangunan hijau dan kelestarian bandar raya.
Pembangunan loji ini merupakan antara manifestasi komitmen MBI untuk memperkukuh aspirasi Ipoh sebagai sebuah bandar raya rendah karbon, berdaya tahan dan mampan, di samping menyumbang kepada agenda peralihan tenaga dan pembangunan teknologi hijau di Negeri Perak.
Melalui projek ini, Tapak Pelupusan Sanitari Lahat bukan lagi dilihat semata-mata sebagai kemudahan pelupusan sisa pepejal, sebaliknya berkembang sebagai sebahagian daripada ekosistem tenaga hijau bandar yang berupaya menghasilkan nilai ekonomi dan manfaat alam sekitar daripada sumber yang sebelum ini dianggap sebagai sisa.
MBI berharap kejayaan projek ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih banyak inisiatif tenaga boleh diperbaharui berasaskan sisa pada masa hadapan, di samping membuka ruang kepada kerjasama strategik yang lebih luas antara sektor awam dan swasta.
Usaha ini seterusnya akan memperkukuh perjalanan Ipoh ke arah sebuah bandar raya yang lebih hijau, rendah karbon, regeneratif dan berdaya tahan, demi kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.