Ipoh, 27 Julai 2025 – Suasana pagi di Taman Canning hari ini cukup meriah apabila YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, hadir bagi merasmikan Taman Rekreasi Madani (TRM) Canning yang merupakan salah satu daripada 14 lokasi yang terlibat dalam pembangunan Taman Rekreasi Madani di Bandaraya Ipoh.
Majlis perasmian ini turut menyaksikan pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), yang dimeterai melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh dan Tan Sri Lee Oi Hian, Pengerusi Eksekutif KLK.
Pada tahun 2024, MBI telah menerima peruntukan sebanyak RM5.4 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan, bagi membangunkan 14 buah Taman Rekreasi Madani (TRM) di kawasan yang dikenal pasti sekitar Ipoh. Setiap lokasi menerima peruntukan sebanyak RM450,000.00, dengan projek siap sepenuhnya pada Julai 2025.
Antara lokasi yang terlibat ialah:
1.TRM Canning Garden (Canning),
2.TRM Bandar Baru Putra (Hulu Kinta),
3.TRM Westpool Park (Kepayang),
4.TRM Pengkalan Barat (Tebing Tinggi),
5.RM First Garden (Jelapang),
6.TRM SPPK (Pasir Pinji),
7.TRM Kledang (Menglembu),
8.TRM Tasek Jaya (Bercham),
9.TRM Desa Rishah (Buntong),
10.TRM Chepor (Manjoi),
11.TRM Rapat Setia (Simpang Pulai),
12.TRM Kampung Sungai Rokam (Sungai Rapat),
13.TRM Woodland Park 1 (Tambun),
14 TRM Woodland Park 2 (Tambun).
Melalui MoU ini, pihak KLK akan memikul tanggungjawab menyelenggara tujuh (7) lokasi TRM terpilih bagi tempoh dua (2) tahun. Taman-taman yang terlibat ialah:
1. TRM Woodland Park 1, Tambun,
2. TRM Woodland Park 2, Tambun,
3. TRM Canning Garden,
4. TRM Bandar Baru Putra,
5. TRM Westpool Park,
6. TRM Pengkalan Barat,
7. TRM First Garden.
Penyelenggaraan yang dilakukan merangkumi pemotongan rumput dan pembersihan kawasan bagi memastikan fungsi taman sebagai tempat riadah komuniti sentiasa terpelihara.
Menurut Tan Sri Lee Oi Hian, “Program Taman Angkat MADANI ini adalah sebahagian daripada inisiatif CSR KLK yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar dan kepentingan masyarakat setempat. Menariknya, kerja-kerja penyelenggaraan ini turut melibatkan penglibatan NGO dan pusat pemulihan dadah, dalam usaha memberi peluang pekerjaan dan memperkasakan komuniti yang sering terpinggir.”
Kolaborasi antara MBI dan KLK ini diharap dapat menjadi model contoh kepada syarikat-syarikat swasta lain di Negeri Perak untuk turut serta memikul tanggungjawab sosial dalam memelihara taman-taman awam. Langkah ini juga selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif dan mampan.
Usahasama sebegini bukan sahaja mengurangkan beban penyelenggaraan pihak berkuasa tempatan, malah menjadi lambang perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta demi kepentingan rakyat dan alam sekitar.
Majlis yang turut diserikan dengan kehadiran YB Jenny Choy Tsi Jen, ADUN Canning merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Howard Lee Chuan How Ahli Parlimen Ipoh Timur, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, Ahli-Ahli Majlis MBI, ketua-ketua jabatan, wakil komuniti, NGO serta warga Ipoh ini menyaksikan satu lagi langkah proaktif ke arah menjadikan Ipoh sebagai sebuah Bandaraya Regeneratif, berteraskan konsep MADANI, mampan, sejahtera dan inklusif untuk semua.