Ipoh, 21 Julai 2025 – Stadium Indera Mulia hari ini menjadi tumpuan warga Perak apabila ribuan pengunjung hadir sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak yang berlangsung dengan penuh semangat keterbukaan dan semangat perkhidmatan rakyat.
Program anjuran Kerajaan Negeri Perak ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, dan turut dihadiri barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Yang turut hadir sama memberikan komitmen terhadap aspirasi rakyat ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh yang turun padang sendiri bagi meninjau serta menyantuni warga kota Ipoh. Beliau mengambil peluang ini untuk mendengar sendiri permasalahan dan cadangan daripada penduduk serta memberi maklum balas secara langsung kepada mereka.
Menurut Tuan Zamakhshari, pendekatan mesra rakyat seperti ini sangat signifikan dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti bandar.
“Program seperti ini membuktikan bahawa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sentiasa membuka ruang komunikasi dua hala. Ia menjadi platform terbaik untuk kita meneliti isu setempat dan memberi penyelesaian yang lebih holistik kepada warga bandaraya,” jelas beliau ketika ditemui selepas sesi libat urus bersama pengunjung.
Majllis Bandaraya Ipoh pada masa yang sama telah menerima aduan, maklumbalas dan cadangan seperti aduan salah guna tapak premis, jalan rosak, cadangan permohonan bonggol jalan, dan sistem paparitan baharu di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh.
Program ini turut dimeriahkan dengan pameran perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan, sesi dialog bersama pemimpin, kaunter aduan, pemeriksaan kesihatan, serta pelbagai aktiviti komuniti yang mesra keluarga.
Inisiatif Hari Bertemu Pelanggan ini dilihat sebagai antara pendekatan proaktif Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh budaya integriti, ketelusan, dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien dan inklusif kepada rakyat.