Ipoh, 28 Julai 2025 – Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah hari ini menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung Tourism Promotion Organization (TPO) for Global Cities, Madam Kang Da-Eun di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Kunjungan ini merupakan satu platform diplomatik penting dalam memperkukuh hubungan antarabangsa, khususnya dalam bidang pelancongan antara Bandaraya Ipoh dan rangkaian bandar global di bawah naungan TPO.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ahli Majlis MBI, Clr. Encik Mohd Helmi bin Mohamed Fuzi dan Pengarah Komuniti Bandaraya, Jabatan Perkhidmatan Komuniti dan Kemasyarakatan MBI, Encik Romzi bin Zamri.
Dalam sesi pertemuan tersebut, pelbagai topik telah dibincangkan termasuklah potensi Bandaraya Ipoh sebagai destinasi pelancongan mapan, program pertukaran budaya, serta inisiatif pelancongan pintar yang boleh dikembangkan menerusi jaringan kerjasama TPO.
Datuk Bandar Ipoh dalam ucapannya mengalu-alukan kunjungan Madam Kang dan menzahirkan komitmen MBI untuk terus memainkan peranan aktif dalam platform serantau dan antarabangsa bagi memperkenalkan Ipoh sebagai sebuah bandar raya beridentitikan warisan, berdaya huni dan lestari.
Madam Kang dalam pada itu menyatakan penghargaan atas sambutan mesra pihak MBI dan menyatakan keterbukaan pihak TPO dalam menyokong usaha promosi serta pembangunan pelancongan di Ipoh melalui pelbagai program dan kolaborasi.
Pertemuan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan sesi fotografi rasmi sebagai tanda penghargaan dan kenangan persahabatan dua hala antara Bandaraya Ipoh dan Tourism Promotion Organization for Global Cities.
Kunjungan ini sekali gus menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih mantap dalam merealisasikan aspirasi Ipoh sebagai sebuah bandar pelancongan bertaraf antarabangsa.