Ipoh, 29 September 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antarabangsa menerusi penganjuran Program Pertukaran Pelajar Medan–Ipoh yang menghimpunkan pelajar dari Medan, Indonesia bersama keluarga angkat dan komuniti tempatan di Bandaraya Ipoh.
YBhg. Dato’ Mazlan bin Abd Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI yang mewakili YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, dalam ucapannya sempena Majlis Makan Malam Program Pertukaran Pelajar Medan–Ipoh di Ipoh Convention Centre (ICC), malam ini, mengalu-alukan kehadiran delegasi dari Medan yang terdiri daripada dua pegawai pengiring dan 10 orang pelajar.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Tuan A’zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya.
Menurut beliau, program pertukaran pelajar bukan sekadar satu kunjungan atau aktiviti sosial, sebaliknya menjadi jambatan persahabatan yang menghubungkan generasi muda daripada dua bandar dan dua negara yang mempunyai hubungan erat dari aspek sejarah, bahasa, budaya serta nilai kekeluargaan.
Sepanjang berada di Ipoh, para pelajar berpeluang mengenali dengan lebih dekat budaya dan adat resam masyarakat tempatan, sistem pendidikan serta cara hidup komuniti di bandar raya ini. Mereka turut berpeluang menikmati keunikan Ipoh yang terkenal dengan khazanah warisan sejarah, kepelbagaian sajian tempatan, keindahan alam semula jadi serta keramahan masyarakatnya.
Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat pula memberi dimensi yang lebih bermakna kepada program ini kerana para peserta dapat merasai sendiri kehidupan seharian masyarakat tempatan, selain memupuk kefahaman terhadap perbezaan budaya, menghargai persamaan serta membina hubungan berasaskan rasa saling menghormati dan mempercayai.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua keluarga angkat yang telah membuka pintu rumah dan hati dengan menerima para pelajar dari Medan sebagai sebahagian daripada keluarga sepanjang mereka berada di Ipoh.
MBI berharap para pelajar dari Medan akan membawa pulang bukan sahaja gambar dan cenderamata, malah pengalaman berharga, nilai persahabatan serta kenangan indah sepanjang berada di Ipoh. Mereka juga diharapkan dapat menjadi “duta kecil” Bandaraya Ipoh dengan berkongsi pengalaman bersama keluarga, rakan-rakan serta komuniti di Indonesia.
Penganjuran program ini sekali gus mencerminkan komitmen MBI dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, memperkukuh hubungan antara bandar serta mengeratkan persahabatan dalam kalangan generasi muda Malaysia dan Indonesia.
Usaha tersebut turut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Perak Sejahtera 2030 dan Ipoh Bestari Sejahtera, khususnya dalam membentuk masyarakat yang progresif, saling menghormati serta terbuka kepada perkongsian ilmu, budaya dan pengalaman di peringkat antarabangsa.