Ipoh, 27 Jun 2026 – Pertandingan Memancing Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 berlangsung dengan meriah dan jayanya di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, hari ini.
Program yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang itu telah disertai seramai 200 peserta dari seluruh Malaysia, sekali gus mencerminkan sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti pemancing serta orang ramai.
Acara tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh. Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli-ahli Majlis, ketua-ketua jabatan, pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), wakil agensi terlibat serta warga kerja MBI.
Clr. Encik Muhammad Hamzah bin Dato' Haji Md Hamdan, Ahli Majlis MBI, turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.
Pertandingan ini dianjurkan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38, selain menggalakkan aktiviti riadah sihat dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran program sebegini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh semangat perpaduan serta menyemai budaya hidup aktif dalam kalangan komuniti.
Selain memberi peluang kepada peminat aktiviti memancing mempamerkan kemahiran masing-masing, program ini secara tidak langsung membantu mempromosikan Taman Rekreasi Gunung Lang sebagai antara lokasi rekreasi dan pelancongan utama di bandar raya Ipoh.
MBI berharap agar penganjuran aktiviti berteraskan komuniti seperti ini akan terus mendapat sambutan positif dan menjadi antara acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh warga Ipoh serta pengunjung dari luar negeri.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, agensi terlibat, petugas, penaja serta orang ramai yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan pertandingan ini.