Ipoh, 20 Jun 2026 – Seramai 700 kanak-kanak warga Bandaraya Ipoh telah menyertai Karnival Mewarna sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 yang berlangsung di Arena Badminton Perak, Kompleks Sukan MBI, hari ini.
Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa, kanak-kanak, pelajar sekolah serta warga kota Ipoh.
Pertandingan ini dianjurkan sebagai salah satu inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun bandar raya, selain menggalakkan kreativiti dan bakat seni dalam kalangan masyarakat.
Karnival Mewarna tersebut telah disempurnakan oleh Tuan A’zman bin Harun, Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Ipoh.
Dalam penganjuran ini, peserta dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Kategori A bagi peserta berumur 10 hingga 12 tahun, Kategori B bagi peserta berumur 7 hingga 9 tahun, Kategori C bagi kanak-kanak pra sekolah atau tadika berumur 4 hingga 6 tahun, serta Kategori D yang melibatkan warga kota Ipoh.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan penghargaan kepada semua peserta, ibu bapa, guru-guru serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Penganjuran pertandingan seumpama ini diharap dapat terus memupuk semangat cintakan bandar raya, mengeratkan hubungan komuniti serta menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang ceria, inklusif dan sejahtera.