Selangor, 19 Ogos 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus menzahirkan komitmen dan sokongan padu kepada kontinjen Perak yang sedang berjuang membawa cabaran negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Hari ini, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bersama rombongan Majlis Bandaraya Ipoh telah mengadakan kunjungan ke beberapa venue pertandingan bagi memberikan sokongan moral, sekali gus menyuntik semangat kepada atlet-atlet Perak yang sedang beraksi.
Program dimulakan pada jam 2.00 petang dengan kunjungan ke Dewan UKM bagi menyaksikan acara tinju peringkat pusingan awal yang melibatkan dua wakil Perak yang turut dihadiri oleh Kunjungan berkenaan turut disertai Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli.
Kehadiran beliau bersama rombongan mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha pembangunan dan peningkatan kecemerlangan sukan tinju di peringkat negeri serta kebangsaan.
Rombongan kemudiannya meneruskan kunjungan ke Pusat Akuatik Darul Ehsan bagi memberikan sokongan kepada atlet Perak yang beraksi dalam acara renang.
Turut hadir memberikan sokongan di Pusat Akuatik ialah YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, bersama YB Tuan Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Kehadiran barisan kepimpinan negeri bersama Datuk Bandar Ipoh dan rombongan MBI menyerlahkan semangat kebersamaan serta solidariti yang tinggi dalam memberikan sokongan kepada para atlet Perak yang menggalas tanggungjawab membawa nama negeri di pentas SUKMA 2026.
Sokongan secara langsung di venue pertandingan bukan sahaja menjadi pembakar semangat kepada para atlet, malah membuktikan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak serta MBI terhadap pembangunan sukan dan kecemerlangan generasi muda.
MBI berharap suntikan semangat yang diberikan dapat meningkatkan keyakinan para atlet untuk terus mempamerkan prestasi terbaik, sekali gus menyumbang kejayaan dan membawa pulang pingat buat kontinjen Perak.
Seluruh warga Bandar Raya Ipoh turut diseru untuk bersama-sama memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan para atlet Perak agar terus melakar kecemerlangan, mencipta kejayaan serta mengharumkan nama negeri di pentas SUKMA 2026.