IPOH, 15 Ogos 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, hari ini menghadiri Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perak Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Casuarina Convention Centre, Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh.
Konvensyen anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu menghimpunkan anggota Jawatankuasa Kariah Masjid dari seluruh Negeri Perak sebagai wadah untuk memperkukuh kefahaman, kepimpinan dan kecekapan pengurusan institusi masjid, di samping memperkasakan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan kesejahteraan masyarakat.
Program yang bermula pada jam 8.00 pagi itu diisi dengan pelbagai sesi pengisian, antaranya Taklimat Bahagian Pengurusan Masjid, JAIPk yang disampaikan oleh S.F. Tuan Hj. Firdaus bin Salleh, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid, JAIPk, diikuti Taklimat Jabatan Mufti Negeri Perak oleh S.S. Dato’ Hj. Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.
Konvensyen turut menampilkan ceramah khas bertajuk “Pemimpin Beramanah, Memacu Kegemilangan Ummah” yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hj. Izhar Ariff bin Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Majlis Perasmian Penutup dimulakan dengan nyanyian Lagu Negeri Perak, bacaan Asmaul Husna dan bacaan doa, sebelum diteruskan dengan ucapan aluan oleh S.S. Dato’ Hj. Harith Fadzilah bin Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.
Kemuncak majlis menyaksikan ucapan perasmian penutup disempurnakan oleh YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).
Pada majlis sama, sijil turut diserahkan kepada anggota Jawatankuasa Kariah bagi penggal 2026–2029 sebagai simbol amanah dan tanggungjawab yang digalas dalam meneruskan usaha memperkasa pengurusan serta peranan institusi masjid di seluruh Negeri Perak.
Kehadiran Datuk Bandar Ipoh ke program berkenaan mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap usaha memperkukuh institusi masjid serta memperkasakan kepimpinan kariah sebagai antara tonggak penting dalam pembentukan masyarakat yang harmoni, berilmu, berintegriti dan sejahtera.
Penganjuran konvensyen ini juga diharap dapat meningkatkan keupayaan serta kesediaan barisan kepimpinan kariah dalam mendepani cabaran semasa, sekali gus memastikan institusi masjid terus kekal relevan sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebajikan dan penyatuan masyarakat.
Konvensyen berakhir dengan jamuan makan tengah hari sebelum para peserta bersurai pada jam 2.00 petang.