Ipoh, 7 Jun 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, telah menyempurnakan pelepasan peserta Larian Warisan Malaysia 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 yang berlangsung dengan meriah di Padang Ipoh, pagi ini.
Program yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai menerusi penyertaan dalam kategori larian 7 kilometer dan 5 kilometer.
Penganjuran larian ini merupakan antara inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh dalam menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Ipoh dan masyarakat setempat.
Para peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur turut mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi serta sokongan padu terhadap penganjuran program berkonsepkan warisan dan komuniti ini.
Suasana program bertambah meriah dengan pelbagai pengisian menarik termasuk cabutan bertuah, persembahan hiburan dan kebudayaan.
Acara kemuncak program adalah penyampaian hadiah bagi Pertandingan Busana Terbaik yang turut mencuri perhatian para hadirin. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Penganjuran Larian Warisan Malaysia 2026 ini diharap dapat terus memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat, mempromosikan Ipoh sebagai bandar raya yang aktif, harmoni dan sejahtera, serta mengekalkan nilai warisan sebagai identiti kebanggaan bandar raya ini.