Ipoh, 28 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah berjaya menganjurkan edisi ketiga Ipoh Low Carbon Day (ILCD) bagi tahun 2026.
Program siri ke-87 ini tampil lebih istimewa dengan pengisian acara larian santai dan Deco Picnic sempena sambutan ulang tahun MBI yang ke-38.
Membawa tema “World Environment Day”, penganjuran pada kali ini terus memberi penekanan terhadap kepentingan mobiliti mampan di kawasan pusat bandar melalui pelaksanaan penutupan jalan sementara kepada semua kenderaan bermotor. Inisiatif ini telah berjaya menjadikan Persiaran Bandaraya sebagai ruang komuniti yang lebih dinamik, selamat dan mesra pengunjung untuk aktiviti riadah, pendidikan alam sekitar serta interaksi sosial.
Kemeriahan program turut diserikan dengan penganjuran acara Fun Run Ipoh Low Carbon Day sejauh 5 kilometer yang berjaya menarik penyertaan hampir 1,000 peserta. Acara larian santai ini bukan sahaja memupuk budaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat, malah menjadi simbol penghargaan MBI kepada komuniti yang terus menyokong agenda kelestarian bandar raya.
Pada masa yang sama, acara Deco Picnic yang dianjurkan khas bersempena sambutan ulang tahun MBI ke-38 turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung. Pengisian ini berjaya menceriakan suasana program di samping menggalakkan penyertaan keluarga dan komuniti dalam aktiviti santai yang sihat serta mesra alam.
Selain menumpukan kepada gaya hidup sihat, program ini turut diperkukuh dengan pelbagai aktiviti sukan dan kekeluargaan.
Antaranya termasuk demonstrasi kickboxing yang memperkenalkan seni mempertahankan diri, serta aktiviti kayuhan basikal bersama keluarga yang dirancang khusus bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti sihat di kawasan terbuka.
Dalam usaha menyokong kelestarian alam sekitar, Hub Inovasi dan Teknologi Hijau turut mempamerkan pelbagai solusi masa hadapan berkaitan teknologi hijau. MBI juga terus memperkasakan Kempen Tanpa Plastik dengan menggalakkan pengunjung membawa botol air dan beg kitar semula sendiri sepanjang program berlangsung. Selain itu, kempen pengumpulan minyak masak terpakai turut dilaksanakan bagi membolehkan bahan tersebut diproses semula menjadi biodiesel.
Aspek kesihatan dan perkhidmatan komuniti juga diberi perhatian melalui penyertaan Klinik Pergigian Bergerak Daerah Kinta yang menyediakan pemeriksaan kesihatan gigi secara percuma serta khidmat nasihat kepada para pengunjung. Suasana program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk jualan pakaian terpakai (preloved), kaunter promosi produk Pos Malaysia, kempen jualan produk kewangan dan insurans oleh bank-bank tempatan, serta promosi produk telekomunikasi.
Secara keseluruhannya, program ILCD pada kali ini telah menerima kehadiran kira-kira 1,500 pengunjung dan berakhir sepenuhnya pada jam 10.00 pagi.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Ahli Majlis MBI, Encik Tang Cheng Wei.
Penganjuran Ipoh Low Carbon Day ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan MBI dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup rendah karbon, kelestarian alam sekitar dan pembangunan bandar raya yang lebih hijau, inklusif serta mampan.