Ipoh , 18 Jun 2026 – Daripada sebuah pusat pentadbiran kecil yang berkembang seiring sejarah perlombongan bijih timah, Ipoh hari ini berdiri sebagai sebuah bandar raya warisan yang terus maju, berdaya saing dan kekal dekat di hati rakyat.
Semangat itu diterjemahkan menerusi Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 yang berlangsung meriah di Ipoh Convention Centre (ICC) hari ini, sebagai simbol penghargaan terhadap perjalanan panjang Ipoh dalam membina identiti, kemajuan dan kesejahteraan warganya.
Majlis penuh bermakna itu disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, sekali gus menandakan permulaan sambutan ulang tahun bandar raya yang membawa aspirasi baharu kepada seluruh warga Ipoh.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi bin Abd. Rahim; Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Yang Berhormat Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Yang Berhormat Cik Sandrea Ng Shy Ching; Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli majlis, rakan media serta warga kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Sambutan pada tahun ini mengangkat tema “Menjulang Aspirasi, Bandar Raya Bestari”, selari dengan hala tuju Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan sosioekonomi secara mampan, inklusif dan dinamik demi kesejahteraan rakyat.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, tema berkenaan bukan sekadar slogan sambutan, sebaliknya mencerminkan iltizam MBI untuk terus membawa Ipoh ke hadapan sebagai bandar raya yang bijak mengurus kemajuan, cekap menyampaikan perkhidmatan dan sentiasa berpaksikan keperluan rakyat.
“Menjulang Aspirasi membawa makna usaha bersama menterjemah agenda negeri kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat, manakala Bandar Raya Bestari menuntut kebijaksanaan dalam mengurus teknologi, sumber dan perkhidmatan asas bandar secara berkesan,” katanya.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar Perak menegaskan bahawa ulang tahun bandar raya bukan sekadar angka usia, tetapi ruang penting untuk menilai pencapaian, memperhalusi cabaran semasa dan menetapkan hala tuju baharu pembangunan Ipoh di bawah kerangka Perak Sejahtera 2030.
Beliau berkata, kemajuan sesebuah bandar raya tidak hanya diukur melalui bangunan tinggi, jalan yang tersusun atau pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga melalui keupayaannya mengekalkan jiwa, identiti dan hubungan erat dengan masyarakat.
“Kita tidak mahu Ipoh berubah menjadi bandar yang gah pada pandangan mata, tetapi kehilangan rasa dan identitinya. Sebaliknya, kita mahu Ipoh terus berkembang sebagai bandar yang moden tanpa melupakan sejarah, maju tanpa meninggalkan komuniti dan membangun tanpa mengorbankan kualiti kehidupan rakyat,” katanya.
Sejarah panjang Ipoh bermula sejak penubuhan Kinta Sanitary Board North pada tahun 1893, sebelum dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Ipoh pada 31 Mei 1962. Pada 27 Mei 1988, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbudin Shah, telah mengisytiharkan Ipoh sebagai sebuah bandar raya.
Kini, selepas 38 tahun bergelar bandar raya dan 133 tahun mencorak pentadbiran tempatan, Ipoh terus berkembang sebagai bandar warisan, destinasi pelancongan, pusat ekonomi, medan budaya dan bandar yang selesa didiami oleh lebih 880,000 penduduk.
Seiring pertumbuhan itu, MBI akan terus memperkukuh pendekatan “Back to Basic” sebagai teras utama penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan. Tumpuan diberikan kepada perkara asas yang paling dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk pengurusan sampah yang cekap, penyelenggaraan jalan dan longkang, landskap yang terurus, pemotongan rumput berkala, lampu jalan yang berfungsi serta kemudahan awam yang bersih, selamat dan mesra pengguna.
YAB Menteri Besar Perak turut menekankan bahawa kejayaan sesebuah bandar raya bermula daripada perkara yang kelihatan kecil tetapi memberi kesan besar kepada rakyat, seperti jalan yang diselenggara, taman yang selamat, kawasan awam yang bersih, sistem aduan yang responsif, ruang niaga yang teratur dan perkhidmatan PBT yang cekap.
Dalam masa sama, MBI komited memastikan arus pemodenan Ipoh tidak memadamkan nilai warisan yang menjadi kekuatan bandar raya ini. Pemuliharaan bangunan klasik, penghayatan sejarah, kepelbagaian budaya masyarakat, keunikan makanan, seni bina lama serta keindahan alam semula jadi akan terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada identiti Ipoh.
Bagi memperkasa komuniti, MBI akan terus memperluas program kesejahteraan warga kota, gaya hidup sihat, pengukuhan ruang awam dan aktiviti komuniti yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.
Dalam sektor pelancongan dan ekonomi, Ipoh akan terus diposisikan sebagai destinasi yang lebih tersusun, menarik dan berdaya saing dengan mengangkat kekuatan warisan, makanan, seni bina, alam semula jadi, budaya, muzik serta kreativiti tempatan.
Pengiktirafan Ipoh sebagai UNESCO Creative City of Music turut menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekosistem kreatif bandar raya ini. Gabungan muzik, seni, makanan, warisan, kafe, komuniti kreatif dan perusahaan kecil tempatan dilihat mampu memperkukuh daya tarikan Ipoh sebagai destinasi pelancongan pilihan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat tempatan.
MBI juga akan terus menyokong peniaga, penjaja, usahawan tempatan dan komuniti niaga supaya ekonomi bandar raya kekal rancak, inklusif dan memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan pertumbuhan komuniti yang lebih berdaya tahan.
Datuk Bandar Ipoh berkata, kejayaan Ipoh selama hampir empat dekad sebagai bandar raya bukan hasil usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya lahir daripada kerjasama erat kerajaan negeri, agensi pelaksana, komuniti perniagaan, warga kerja MBI dan seluruh warga kota.
“MBI tidak mampu bergerak sendirian. Setiap warga Ipoh mempunyai peranan dalam menjaga kebersihan, memelihara kemudahan awam, mematuhi peraturan, menyokong usaha pembangunan dan memberi maklum balas yang membina,” katanya.
Beliau turut menyeru warga kerja MBI agar menjadikan sambutan ulang tahun ini sebagai dorongan untuk memperbaharui tekad dalam memberikan perkhidmatan yang lebih profesional, berintegriti, berdisiplin dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Pada masa sama, masyarakat turut diseru memainkan peranan masing-masing dalam membina Ipoh yang lebih baik. Peniaga perlu menjaga kebersihan premis dan kawasan niaga, penduduk perlu memelihara kejiranan, pelawat perlu menghormati tempat yang dikunjungi, pemilik bangunan perlu menjaga premis masing-masing, manakala agensi kerajaan perlu memastikan perkhidmatan sampai kepada rakyat dengan cepat dan berkesan.
MBI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak, khususnya YAB Menteri Besar Perak, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang maju, sejahtera dan dekat di hati rakyat.
Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 ini diharap menjadi titik penyatuan semangat warga kota untuk terus menjulang aspirasi, memperkukuh perkhidmatan, memelihara warisan, merancakkan ekonomi, memperkasa komuniti dan bersama-sama membina sebuah Bandar Raya Bestari yang sejahtera untuk semua.