Ipoh, 1 Ogos 2026* – Bandar raya Ipoh sekali lagi menjadi tumpuan antarabangsa apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran *Majlis Makan Malam bersempena ASEAN-China Ministerial Roundtable on Construction and Housing (ACMROCH) 2026* yang berlangsung di Grand Ballroom, Ipoh Convention Centre, Ipoh malam ini.
Majlis berprestij tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming dengan kehadiran para menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan dari Negara-Negara Anggota ASEAN serta Republik Rakyat China.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn; YB Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Darul Ridzuan, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh serta delegasi Negara-Negara Anggota ASEAN dan Republik Rakyat China.
Penganjuran Majlis Makan Malam ini merupakan satu pengiktirafan tertinggi kepada Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atas keupayaan mengendalikan acara antarabangsa berprestij. Acara ini bukan sahaja menyerlahkan kecekapan pengurusan serta hospitiliti mesra, malah turut meraikan keunikan warisan dan budaya tempatan kepada para delegasi.
Dalam ucapannya, YB Tuan Nga Kor Ming merakamkan penghargaan kepada MBI dan Kerajaan Negeri Perak atas kejayaan menganjurkan majlis yang mengetengahkan keistimewaan gastronomi tempatan, persembahan kebudayaan serta layanan mesra rakyat Malaysia.
Menurut beliau, “ Majlis malam ini bukan sekadar acara rasmi, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan, persefahaman, kepercayaan dan persahabatan antara Negara-Negara Anggota ASEAN dengan Republik Rakyat China.
“Pemilihan Ipoh sebagai lokasi penganjuran turut memberi nilai tambah serta publisiti antarabangsa kepada bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan, warisan, gastronomi dan persidangan bertaraf dunia. Keindahan bukit batu kapur, sejarah perlombongan bijih timah, bangunan warisan serta keunikan kulinari tempatan menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang mempunyai identiti tersendiri”.
Para delegasi turut berpeluang menikmati pelbagai hidangan tradisional Perak serta kopi putih Ipoh yang terkenal sebagai antara ikon gastronomi bandar raya ini. Mereka turut digalakkan untuk meneroka kawasan warisan, tempat bersejarah serta destinasi pelancongan menarik di sekitar Ipoh dan negeri Perak.
Penganjuran ACMROCH 2026 juga mencerminkan komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam memperkukuh kerjasama serantau berkaitan pembangunan bandar, perumahan, pembinaan serta agenda kerajaan tempatan yang mampan dan berdaya huni. Kerjasama erat antara KPKT, Kerajaan Negeri Perak dan MBI dalam menjayakan program ini membuktikan keupayaan pihak berkuasa tempatan memainkan peranan strategik dalam menyokong penganjuran program diplomatik dan antarabangsa.
Majlis ini turut menjadi platform untuk mempromosikan Ipoh dan negeri Perak menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus membuka peluang kepada sektor pelancongan, hospitaliti, makanan, kebudayaan dan ekonomi tempatan untuk berkembang dengan lebih pesat.
Penglibatan MBI dalam ACMROCH 2026 membuktikan keupayaannya mengendalikan acara bertaraf dunia, sekali gus memacu aspirasi Ipoh Bestari Sejahtera untuk menjadikan Ipoh sebuah bandar raya mampan, mesra pelancong, dan berdaya huni.