Ipoh, 12 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Khas Kabinet atau CABCOM, Jabatan Premier Sarawak, yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda bin Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman).
Kunjungan hormat tersebut berlangsung di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh bermula jam 3.00 petang. Ketibaan delegasi disambut oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Program dimulakan dengan sesi kunjungan hormat Yang Berhormat Timbalan Menteri kepada YBhg. Datuk Bandar Ipoh di Bilik Bunga Raya, sebelum ketibaan tetamu kenamaan ke Dewan Azlan Shah. Majlis diteruskan dengan bacaan doa, tayangan video korporat serta video pelancongan MBI yang memaparkan profil bandar raya, peranan MBI dan keunikan Ipoh sebagai destinasi pentadbiran, ekonomi, pelancongan dan warisan.
Dalam ucapan alu-aluannya, YBhg. Datuk Bandar Ipoh merakamkan penghargaan kepada delegasi CABCOM, Jabatan Premier Sarawak atas kesudian memilih Majlis Bandaraya Ipoh sebagai destinasi lawatan kerja.
Beliau menyifatkan kunjungan ini sebagai satu platform penting bagi memperkukuh hubungan antara dua pentadbiran kerajaan, khususnya dalam aspek tadbir urus, integriti, akauntabiliti serta penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Menurut beliau, lawatan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta meneliti amalan terbaik dalam pengurusan organisasi. Antara aspek yang diberi perhatian termasuk pengurusan kewangan, sumber pendapatan agensi, perancangan belanjawan, kawalan perbelanjaan, pengurusan operasi, strategi pembangunan serta pendekatan pentadbiran yang dilaksanakan oleh MBI.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, delegasi CABCOM turut mengikuti sesi pembentangan Laporan Penyata Kewangan dan Anggaran Belanjawan serta taklimat berkaitan Projek Inovasi Fin@Syariah oleh Jabatan Perbendaharaan, Majlis Bandaraya Ipoh.
Sesi tersebut memberi gambaran menyeluruh berhubung pengurusan kewangan MBI, merangkumi perancangan hasil, kawalan perbelanjaan, penyediaan belanjawan serta pendekatan Majlis dalam memastikan tadbir urus kewangan dilaksanakan secara telus, berhemat dan bertanggungjawab.
Delegasi juga diberikan taklimat berkaitan Ipoh Smart City oleh Jabatan Perancang Bandar. Taklimat ini menekankan usaha MBI dalam memperkukuh agenda bandar pintar melalui penggunaan teknologi, penyelarasan data dan pendekatan inovatif bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar raya serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada warga kota.
Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi ruang kepada delegasi dan pihak MBI bertukar pandangan secara langsung berhubung pelaksanaan dasar, cabaran pentadbiran bandar raya, pengurusan kewangan, inovasi perkhidmatan serta pendekatan terbaik dalam memperkukuh tadbir urus pihak berkuasa tempatan.
Program di Dewan Azlan Shah turut diserikan dengan ucapan balas oleh YB Dato’ Timbalan Menteri, penyampaian cenderahati, jamuan ringan serta sesi bergambar kenangan di Dewan Mesyuarat.
Delegasi lawatan bersama YBhg. Datuk Bandar Ipoh seterusnya bergerak ke Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC), UTC Perak bagi sesi lawatan dan taklimat ringkas. Lawatan tersebut memberi pendedahan kepada delegasi mengenai fungsi, peranan dan mekanisme operasi IIOC sebagai pusat pemantauan bersepadu yang menyokong kecekapan pengurusan bandar raya, penyelarasan maklumat serta peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan kepada warga kota.
MBI turut berkongsi mengenai peranan Bandaraya Ipoh sebagai ibu negeri Perak Darul Ridzuan yang terletak dalam Daerah Kinta dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran, perdagangan, ekonomi, perkhidmatan, kewangan, pendidikan, sukan, politik, keagamaan serta aktiviti ekonomi setempat.
Kawasan pentadbiran MBI meliputi kira-kira 643 kilometer persegi dengan anggaran penduduk hampir 880,000 orang. Bandaraya Ipoh juga dikenali dengan keunikan landskap bukit batu kapur, Sungai Kinta serta warisan Bandar Lama dan Bandar Baru Ipoh yang membentuk identiti serta karakter bandar raya ini.
Dalam pada itu, MBI menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh perkhidmatan perbandaran, pembangunan ekonomi setempat, kelestarian bandar, pengindahan kawasan, pengurusan hasil, kawal selia pembangunan, kesejahteraan komuniti serta peningkatan kualiti hidup warga kota.
YBhg. Datuk Bandar Ipoh turut menyatakan bahawa prinsip tadbir urus yang baik, integriti, ketelusan dan akauntabiliti sentiasa menjadi asas kepada pentadbiran MBI dalam memastikan perkhidmatan yang cekap, pengurusan yang berhemah serta keputusan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
MBI berharap kunjungan hormat ini dapat menjadi asas kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Premier Sarawak, khususnya dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam, pengurusan bandar raya, inovasi perkhidmatan serta amalan tadbir urus yang berkesan.