Ipoh, 16 Jun 2026 -Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah mengadakan Majlis Cabutan Kerja Undi Sesi 01/26 bertempat di Dewan Sultan Azlan Shah, Majlis Bandaraya Ipoh, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Rasmi Majlis Bandaraya Ipoh bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan proses pelaksanaan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh
Menurut Datuk Bandar Ipoh, jumlah keseluruhan peruntukan bagi kerja undi kali ini adalah sebanyak RM928,740, yang diperuntukkan oleh MARRIS dan Majlis Bandaraya Ipoh.
Peruntukan tersebut melibatkan dua kategori utama, iaitu:
a) Perolehan Kerja Kejuruteraan Awam (CE21) melibatkan 10 kerja dengan jumlah peruntukan sebanyak RM779,340 merangkumi kerja-kerja menaik taraf gelanggang dan padang awam, memasang pagar penghadang bola, pembinaan bonggol dan menyelenggara jalan di sekitar Bandaraya Ipoh;
b) Perolehan pembekalan dari Kementerian Kewangan (KKM) dengan kod bidang (070201) melibatkan 3 kerja dengan jumlah peruntukan sebanyak RM149,400 khusus untuk pembekalan dan penanaman pokok teduhan.
Kerja-kerja undi ini terbuka kepada kontraktor CIDB G1 dalam Daerah Kinta bagi kerja kejuruteraan awam dan kontraktor yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan (KKM).
Bagi memastikan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan, proses pendaftaran serta semakan sijil CIDB, PKK dan TCC telah dilaksanakan lebih awal.
Seramai 125 kontraktor telah berjaya mendaftar, namun kontraktor yang disenarai hitam tidak akan dipilih dalam proses cabutan undi ini bagi memastikan integriti dan kredibiliti pelaksanaan projek sentiasa terpelihara.
Nilai perolehan bagi setiap kerja undi adalah sehingga RM200,000 selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 2.21 – Kaedah Pelaksanaan Perolehan/Projek Kerajaan Tahun 2026, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan dan MBI dalam memberi peluang yang adil kepada kontraktor kecil, khususnya kontraktor G1.
Datuk Bandar Ipoh turut menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan kerja-kerja ini bukan sahaja dapat mempercepatkan pembangunan infrastruktur bandar, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Perak serta membantu kelangsungan industri kontraktor tempatan.
Untuk rekod, notis kerja undi telah dipaparkan melalui Portal Rasmi Majlis Bandaraya Ipoh, dengan pendaftaran dalam talian dibuka dari 4 hingga 10 Jun 2026.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini, khususnya Jawatankuasa Kerja Undi, wakil-wakil persatuan kontraktor, rakan media serta para kontraktor yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik.