Ipoh, 13 Julai 2026 – Kerajaan Negeri Perak telah menganjurkan Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Tahun 2026 di Dewan Convention Centre 3 (CCC3), Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, malam ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, dan diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, wakil-wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta tetamu kehormat dari seluruh negara.
Turut hadir ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, sebagai tanda sokongan Majlis Bandaraya Ipoh terhadap usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan institusi perkhidmatan awam.
Pada majlis berkenaan, YAB Menteri Besar Perak turut menyampaikan ucapan serta menyempurnakan pelancaran Jadual Pelupusan Rekod dan e-Book Klasifikasi Fail Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak.
Pelancaran kedua-dua inisiatif tersebut merupakan langkah penting dalam memperkemas tadbir urus rekod dan pengurusan fail agar dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, cekap, telus serta selaras dengan perkembangan pendigitalan perkhidmatan awam.
Inisiatif berkenaan juga diyakini dapat memastikan proses penyimpanan, pengelasan, pemeliharaan dan pelupusan rekod dilaksanakan secara teratur berdasarkan peraturan, garis panduan dan tatacara yang telah ditetapkan.
Penganjuran majlis makan malam ini turut menyediakan ruang kepada para delegasi dan pegawai daripada Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mengeratkan hubungan silaturahim, bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha meningkatkan kecekapan tadbir urus dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan serta komitmen semua pihak dalam memperkasakan perkhidmatan awam yang profesional, berintegriti dan responsif terhadap keperluan masyarakat.