Ipoh, 31 Julai 2026 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid An Nur, Gua Permai, Kem Syed Putra, Ipoh, hari ini.
Majlis berkenaan turut diadakan bersempena dengan Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2026 bagi mengenang jasa, pengorbanan serta keberanian para pahlawan negara dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air.
Turut berangkat, Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Keberangkatan tiba Paduka Seri Sultan Perak disambut oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan bersama barisan kepimpinan negeri, pegawai kanan kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia.
Majlis dimulakan dengan upacara perasmian Masjid An-Nur, diikuti bacaan doa perasmian masjid serta bacaan Yasin dan Tahlil.
Baginda kemudiannya berkenan menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah selepas mendengar khutbah Jumaat khas sempena Hari Pahlawan Tahun 2026.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan kerajaan, anggota keselamatan serta para jemputan.
Penganjuran majlis ini mencerminkan penghargaan dan penghormatan berterusan kepada para pahlawan yang telah mencurahkan khidmat bakti serta berkorban demi mempertahankan keamanan, keselamatan dan kemakmuran negara.