Chemor, 12 Julai 2026 – Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Astana Chemor telah berlangsung dengan jayanya hari ini di tapak Projek Astana Chemor, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyediakan kediaman yang berkualiti, selesa dan mampu dimiliki oleh rakyat.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
Turut hadir ialah YB Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Darul Ridzuan, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh; wakil-wakil agensi kerajaan, pihak pemaju, rakan strategik serta para tetamu jemputan.
Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak turut menyempurnakan upacara simbolik penyerahan kunci replika bagi Projek Astana Chemor Fasa 1, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memenuhi keperluan perumahan masyarakat di kawasan Chemor dan sekitarnya.
YAB Menteri Besar Perak kemudiannya menyempurnakan pelancaran Projek Astana Chemor Fasa 2 serta merasmikan rumah contoh projek berkenaan. Pelancaran fasa baharu itu mencerminkan keyakinan terhadap potensi pembangunan kawasan Chemor sebagai sebuah penempatan yang terancang dan berdaya huni.
Pembangunan Projek Perumahan Perakku Astana Chemor diharapkan dapat membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih selesa, selamat dan sejahtera.